Status IPG masih di takuk lama
SESUAI dengan perkembangan dalam sistem pendidikan negara kini, sijil perguruan dinaikkan kepada Diploma Pendidikan Malaysia (DPM). Dengan ini, semua guru lepasan maktab perguruan dalam kategori DG6 secara automatik dilantik ke DGA6 dengan diberikan hadiah pergerakan gaji. Gaji permulaan bagi guru lepasan maktab pula melebihi RM1,200.
Seterusnya maktab perguruan memperkenalkan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dengan mengambil lepasan ijazah daripada pelbagai bidang untuk dilatih menjadi guru siswazah. Dengan kenaikan fungsi latihan di maktab perguruan ini, akhbar melaporkan mengenai kenaikan status serta gaji pensyarah maktab sesuai dengan beban tugas.
Laporan akhbar menyebut gaji DG2 serta elaun yang menarik medurian runtuh yang bakal dinikmati oleh mereka. Ada yang membuat tempahan kereta dan rumah baru.
Namun begitu penantian pensyarah hanya penantian kosong. Ramai sudah berpencen dengan penuh kekecewaan. Apa tidaknya, ramai pensyarah berpencen tanpa merasakan kenaikan pangkat walaupun sekali.
Bayangkan sepanjang 30 tahun berkhidmat sebagai pensyarah maktab, sekalipun tidak naik pangkat walaupun memiliki kelulusan tinggi sedangkan rakan mereka sekurang-kurangnya pernah menjadi penolong kanan, pengetua, pegawai pendidikan daerah, ketua sektor ataupun pengarah walaupun tanpa lulusan tinggi seperti mereka.
Berita gembira sekali muncul bagi pensyarah maktab perguruan apabila Perdana Menteri mengumumkan maktab perguruan dinaikkan taraf ke Institut Perguruan (IPG) ketika membentangkan Bajet 2006 pada September 2005. Sekali lagi Timbalan Perdana Menteri memasyhurkan semua maktab perguruan menjadi IPG di Sarawak.
Sesuai dengan kenaikan statusnya, ramai pensyarah IPG sudah dan sedang menyambung pengajian sarjana dan doktor falsafah (Ph.D). Setakat ini lebih 50 pensyarah IPG sudah memiliki Ph.D dan hampir 70 peratus daripada 3,000 pensyarah IPG sudah memiliki sarjana.
Sayang sekali, kenaikan status maktab perguruan kepada IPG tidak memberikan apa-apa kepada pensyarahnya. Ia masih di takuk lama dan dalam banyak hal jauh ketinggalan berbanding dengan sekolah.
Pensyarah IPG masih dalam kategori DG41 walaupun memiliki Ph.D dan peluang kenaikan pangkat hampir tiada langsung. Ia dilihat melalui lantikan pengarah IPG, hampir semua pengarah IPG adalah pegawai Jabatan Pendidikan Negeri atau pengetua sekolah yang hanya memiliki ijazah pertama saja.
Yang menyedihkan lagi dalam soal kekananan, pensyarah IPG jauh lebih kanan, lebih tinggi tahap pendidikan serta ilmu pengetahuan mengenai maktab yang amat luas berbanding dengan pengarah.
Kecenderungan Pengarah IPG melatih ketua jabatan berdasarkan kekananan atau mereka yang disukai olehnya menyebabkan pensyarah lulusan Ph D terpinggir. Beberapa pensyarah IPG mendapat tawaran dari IPTA dengan gred gaji jauh lebih tinggi seperti DS52 tetapi mereka tidak dibenarkan berhijrah oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG), walaupun mereka tiada ikatan.
DR THINK,
Kuala Lumpur.
1 comment:
Betul kah Pensyarah IPG naik Gred? Saya tidak dapat cari pekeling berkaitan.
Post a Comment