Thursday, January 18, 2007

Jangan salahkan alam


Banjir ialah satu situasi di mana air terlalu banyak dan melimpah di sesebuah kawasan. Punca yang dikenal pasti ialah kerana hujan lebat yang berterusan. Terdapat juga limpahan air yang berlaku bukan disebabkan oleh hujan lebat tetapi disebabkan oleh ketidakmampuan sesebuah kawasan takungan untuk menakung air.

Hujan lebat biasanya dipengaruhi oleh tiupan angin monsun dan angin lazim yang disertai ribut. Kejadian bencana alam seperti banjir ini yang disebabkan oleh faktor semula jadi memang tidak dapat dielakkan. Bagaimanapun, sekiranya persediaan menghadapinya dilakukan dengan rapi termasuk ramalan yang tepat oleh pakar-pakar meteorologi, kesan ke atas jiwa manusia dan harta benda dapat dikurangkan.

Sejarah banjir negara pernah merakamkan beberapa kejadian. Banjir besar yang dikenali sebagai ‘Bah Merah’ pernah berlaku pada tahun 1927. Pada tahun 1967 banjir besar pernah melanda kawasan-kawasan sekitar Pantai Timur khususnya di Kelantan dan mengorbankan lebih 50 orang.

Beberapa tahun kemudian iaitu pada tahun 1971, banjir sekali lagi melanda negara ini dan kawasan pantai barat termasuk Kuala Lumpur dan beberapa negeri di sekitarnya terlibat sama. Seramai 24 orang penduduk dilaporkan lemas atau terbunuh.

Faktor berlakunya bencana alam yang disebabkan oleh tindakan manusia adalah sesuatu tragedi yang sangat dikesali jika terjadi. Banjir yang melanda negara ini sejak akhir tahun lalu di beberapa tempat seperti di Johor dan Melaka yang menyebabkan 10,000 penduduk dipindahkan sehingga kini masih belum pulih sepenuhnya.

Banjir kedua awal tahun ini dan sehingga setakat ini sudah melibatkan pemindahan melebihi 120,000 orang dan mungkin meningkat lagi kerana peringkat amaran ‘merah’ masih diteruskan. Kejadian banjir sangat berkait rapat dengan kesan tindakan manusia. Tidak dapat dinafikan bahawa banjir ini berlaku yang punca asalnya disebabkan hujan lebat yang terjadi kesan tiupan angin monsun, angin baratan, angin timuran dan angin setempat. Namun, tindakan manusia juga boleh menyebabkan banjir atau menyebabkan banjir semakin dominan.

Faktor tindakan manusia sebenarnya adalah faktor kesilapan manusia. Antara aktiviti-aktiviti manusia yang menjadi punca atau penggalak kejadian banjir termasuklah :

* Penebangan hutan yang tidak terkawal memberi kesan kepada muka bumi.
* Penebangan tumbuhan pinggir pantai pula menggalakkan kejadian banjir berlaku di sekitar kawasan pinggir pantai bertanah rendah. Lazimnya, tumbuhan pinggir pantai seperti pokok bakau mempunyai daya tahan terhadap serangan tiupan angin kerana mempunyai cerucuk yang kukuh mencengkam tanah. Tumbuhan ini sebenarnya adalah benteng semula jadi untuk menghalang tiupan angin yang kencang dan menghalang air pasang atau air bah daripada memasuki kawasan pedalaman pinggir pantai.

* Pembangunan di negara ini selalunya tidak mengambil kira ciri-ciri lestari. Lestari maksudnya menyeimbangkan pembangunan fizikal dengan pembangunan tumbuh-tumbuhan.
* Kesan rumah kaca adalah istilah untuk sesebuah kawasan tumbuh-tumbuhan yang sudah diteroka atau diterangkan dengan diganti hutan batu iaitu bangunan-bangunan konkrit, jalan-jalan tar, dataran-dataran bersimen, tingkap- tingkap berkaca dan kesesakan kenderaan. Kawasan ini sudah pasti merupakan kawasan yang bersuhu tinggi. Kepanasan melampau sebenarnya menggalakkan hujan segera di kawasan ini dan banjir kilat mungkin terjadi.
* Keadaan sistem saliran yang tidak teratur juga menggalakkan banjir. Selain tersumbat, sistem perparitan atau anak sungai yang kecil tidak mampu menampung jumlah air yang banyak apabila hujan lebat.
* Kekurangan kawasan empangan juga menyebabkan kawasan rendah sangat mudah dilanda banjir.
* Penerokaan kawasan-kawasan hutan untuk dijadikan kawasan industri, kawasan bandar baru, kawasan perdagangan dan penempatan manusia juga menyumbang kepada bencana banjir jika tidak diuruskan secara bersistem.
* Pembuangan sisa pejal, sampah sarap, batu-batan buangan dan sisa buangan yang lain juga sangat menggalakkan kejadian banjir. Buangan sisa ini akan menghalang larian air, melambatkan penurunan air ke kawasan rendah dan membantu menakung air selain mencemarkan persekitaran.

Malaysia mempunyai keluasan muka bumi 329,758 kilometer persegi termasuk Sabah dan Sarawak. Namun begitu, 9 peratus kawasan iaitu kira-kira 30,000 kilometer persegi adalah dikenal pasti sebagai kawasan yang mudah dinaiki air. Dianggarkan bahawa kawasan ini mempunyai penduduk lebih kurang 2,700,000 orang yang mungkin menghadapi risiko banjir.
Fenomena cuaca yang tidak menentu ketika ini, ketika perubahan-perubahan peningkatan mendadak jumlah hujan dan suhu serta tiupan angin yang lazim sudah menjadi tidak lazim maka tindakan manusia yang memberi kesan kepada bencana banjir mesti dipantau.

Pihak-pihak yang berkaitan dengan kerja-kerja pembangunan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar seharusnya memainkan peranan lebih mesra alam. Kita tidak mahu kita ‘dihukum’ oleh alam kerana kita tidak mesra kepada alam.

Kita tidak mahu dipersalahkan oleh ‘alam’ kerana kita merosakkan alam. Kita tidak mahu dilaknat oleh ‘alam’ kerana meneroka alam secara ganas dan rakus.
– MOHD SUBHI MARSAN,

No comments: