Friday, January 26, 2007

ALASAN KEMISKINAN BUKAN SEBAB NILAI PENDIDIKAN MENJADI LUNTURSudah

Alasan seperti lumrah setiap awal tahun pasti timbul bermacam-macam cerita berkaitan dengan persekolahan anak-anak. Bermula dengan tidak puas hati ibu bapa berkaitan dengan bayaran yuran persekolahan sehinggalah kepada himpitan kemiskinan yang mengakibatkan ada yang tidak dapat bersekolah. Jika boleh ke sekolah pun masih ada yang daif dengan masalah perhubungan ke sekolah dan baju dan peralatan sekolah yang lusuh.Inilah yang terjadi kepada sebuah keluarga di Kuala Ketil akibat kemiskinan dan tidak tahu cara untuk mengatasi permasalahan, mengakibatkan anak-anak hampir keciciran dalam pelajaran. Sedangkan persekitaran masih boleh merubah kehidupan mereka. Tetapi kurang faham berkomunikasi dengan ketua kampung dan tiada inisiatif sendiri untuk mencari jalan mengatasi masalah, menyebabkan masalah dan kemiskinan diharap dapat diselesaikan secara bergolek di hadapan mereka.Lain pula yang berlaku di Pitas, Sabah di mana anak-anak sanggup meredah jalan yang becak di pendalaman dengan berjalan kaki dua jam ke sekolah. Kemiskinan menghimpit keselesaan untuk bersekolah dengan persediaan pakaian dan kasut sekolah sudah tidak penting lagi. Dengan berbaju lusuh dan tanpa kasut, mereka masih bersemangat untuk pergi ke sekolah walaupun dalam serba segi kekurangan. Infrastruktur sekolah dan persekitarannya amat daif seperti keadaan 37 tahun lalu di kampung saya semasa zaman sekolah rendah.Suasana pembelajaran, kemudahan awam dan bangunan sekolah masih ada lagi yang sangat uzur dan tidak layak dipanggil sekolah dalam negara menuju 50 tahun kemerdekaan. Walaupun sudah ada perubahan di bandar dan luar bandar dari segi aspek bangunan dan kesedaran pendidikan yang tinggi, namun masih terdapat segelintir daripada kita yang masih dihimpit dengan kemiskinan dan kesusahan hidup di pendalaman luar bandar.Sebenarnya masih ada berlaku keciciran dalam pendidikan akibat kemiskinan yang menimpa sesuatu keluarga. Masih ada segelintir daripada kita di luar bandar disebabkan himpitan hidup, ramai anak-anak menjadi mangsa dan terpaksa berhenti sekolah. Anak-anak terpaksa membantu menampung beban ekonomi keluarga yang semakin menjerat disamping memberi laluan kepada adik-adik yang lain. Namun faktor utama yang paling ketara adalah kerana lunturan motivasi dan pengaruh sekeliling.Senario pertama ini berlaku di sebuah kampung di Terengganu.Dengan pengakuan mereka adalah dari keluarga miskin dan serba kekurangan untuk ke sekolah, tetapi kita masih boleh melihat suasana pelajar sekolah menengah menghisap rokok tanpa segan silu sambil menunggang motosikal. Mereka juga banyak menghabiskan wang untuk perkara-perkara yang tidak relevan dengan status pelajar.Dari manakah mereka mendapat wang untuk membeli rokok, sedangkan wang tersebut boleh digunakan untuk menampung kos harian persekolahan?. Apakah ibu bapa mereka tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap tindakan anak-anak mereka itu?.Jawapan yang ditemui ialah kebanyakan remaja ini akan menolong ibu bapa bertani, turun ke laut dan terpaksa ponteng sekolah demi sedikit upah. Wang inilah yang digunakan oleh mereka untuk membeli rokok. Jika tiada kawalan, golongan remaja sebeginilah yang mudah terjebak ke kancah penagihan dadah seperti ganja dan daun ketum.Saya berpendapat tidak salah kita memberi upah hasil penat lelah anak kita membantu bertani dan menangkap ikan, tetapi kita perlu tahu ke mana wang tersebut dialirkan. Ibu bapa perlu bertindak sebagai juruaudit agar dapat dipastikan wang digunakan untuk perkara-perkara yang bermanfaat atau simpan di bank. Kerana kita sering beranggapan selepas memberi upah, maka selesailah tanggungjawab kita. Maka bebaslah anak-anak kita untuk menobatkan wang sebagai ‘raja’ dalam kehidupan.Adakah urusan-urusan membantu keluarga ini tidak mengganggu persekolahan mereka?. Ada di antara mereka yang sudah tidak minat lagi ke sekolah dan yang bersekolah pun seringkali ponteng. Untuk ke sekolahpun tidak menampilkan imej sebagai pelajar yang benar-benar hendak belajar. Imej sebagai pelajar juga sudah tiada dengan pakaian yang tidak seperti pelajar dan tanpa buku dalam beg sekolah. Sehinggakan guru-gurupun sudah muak hendak melayan kerenah remaja sebegini.Senario kedua ini berlaku di sebuah kampung di Selangor.Mungkin ada benarnya pepatah Melayu “ bapa borek, anak rintik”. Seketika apabila berkunjung ke warung di kampung berhampiran, dapat dilihat sekelompok golongan bapa yang begitu asyik bermain terup dan dam aji dalam bentuk berjudi. Sesekali terdengar gelak ketawa dan sumpah seranah yang sudah lumrah di warung tersebut. Terdapat juga kelompok yang sedang “brain storming” nombor ramalan apakah yang akan keluar esok.Tiada model kepimpinan terdekat dalam keluarga yang boleh menjadi contoh untuk proses pembinaan diri yang mantap. Benarlah kata seorang ulama terkenal bahawa 70 peratus daripada beban mendidik anak-anak adalah atas pundak ibu bapa. Dan pendidikan yang paling mudah dicontohi adalah yang bersifat sikap, perangai, tabiat, budaya, tingkah laku dan cara kehidupan ibu bapa anak-anak sendiri.Kita tidak mahu melihat kehancuran generasi pewaris hanya kerana semata-mata sikap lalai mendidik dan memuaskan nafsu sendiri yang ada dalam diri kita. Justeru, kita semua bertanggungjawab atas apa yang bakal terjadi kepada nasib bangsa kita di masa hadapan.Walaupun menghadapi kemungkinan untuk dikecam, kita wajib mendedahkan dan membuat pembetulan ke atas segala kepincangan dan permasalahan sosial. Sesuatu yang mungkar dan sifatnya yang tidak betul, wajar mendapat perhatian dan dibendung segera.Ini kerana keadaan sekeliling kita sekarang terlalu banyak model negatif yang tidak mencerminkan aspirasi pembinaan bangsa yang wajar. Malah kita berkemungkinan untuk berdepan dengan detik kehancuran bangsa secara beransur-ansur.Jika begini model- model yang ditemui oleh seseorang anak muda yang baru hendak belajar erti hidup, maka besar kemungkinan mereka bakal penerus warisan model-model negatif tersebut. Semakin bertambahlah komuniti penagih dadah, kaki judi, malas bekerja, peminum arak dan pengunjung kelab malam di negara kita.Proses pendidikan adalah wadah paling sempurna untuk membina keupayaan kendiri. Jika mutu pendidikan yang diterima tidak begitu sempurna, apatah lagi kita sendiri yang cuba mengelak dengan seribu alasan untuk pergi mendapatkan pendidikan sempurna itu, maka tidak mustahillah kita akan berdepan dengan krisis diri sendiri, kelangsungan tamadun dan bangsa yang maha hebat.Segala-galanya adalah bermula dari rumah. Institusi asas ini bakal menentukan rupa apakah yang bakal tercipta untuk kita. Kemiskinan bukannya alasan pendidikan yang di terima menjadi mundur. Kemiskinan juga bukan suatu alasan kukuh untuk duduk berdiam diri di rumah menunggu bantuan yang bakal di terima.Malah ada juga yang memberikan alasan kemiskinan sebagai penyebab anak-anak rosak jati dirinya dan penyebab yang jitu untuk melepaskan tanggungjawab terhadap anak-anak yang masih mentah. Akibatnya kiciciran dalam pelajaran, penambahan masalah sosial dan jenayah mudah sahaja berlaku.Atas alasan kemiskinanlah, setiap awal tahun pasti ada yang “menjatuhkan maruah diri” kononnya saya orang miskin dan tidak mampu membayar yuran persekolahan anak-anak. Mereka tidak terfilir itu semua adalah tanggungjawab wajib mereka untuk menyediakan pendidikan untuk anak-anak. Pelik juga sambil asap rokok berkepul-kepul keluar dari mulut dan hidung, masih menagih simpati dan mencanangkan ke sana sini yuran sekolah membebankan dan minta kerajaan tolong.Tidak malukah jika orang berkata dengan bahasa kasar “buat anak pandai, bela anak tidak pandai”. Jangan marah bila dikatakan golongan sebeni hanya mementingkan diri sendiri dan tidak memikirkan dirinya sudah berkeluarga dan ada tanggungjawab.Inilah akibat lemah dalam perancangan. Jika dari awal tahun lagi sudah menyediakan peruntukan untuk perbelanjaan sekolah untuk tahun hadapan, pasti masalah sebegini dapat di atasi. Jika wang boleh dibazirkan untuk membeli rokok dan berjudi setiap hari, alangkah elok meninggalkan tabiat buruk itu semata-mata ‘berjihat’ untuk pendidikan anak supaya tidak terabai dan terpinggir.Senario ketiga ini berlaku di Pitas, Sabah.Anak-anak kecil di Pitas, Sabah sanggup menjadikan kesusahan dalam kehidupan yang dilalui oleh ibu bapa mereka sebagai pembakar semangat untuk mereka menimba ilmu walaupun dalam serba serbi kekurangan. Anak-anak itu tahu keiklasan ibu bapa mereka dalam mencari rezeki yang halal harus di bayar dengan pergi juga ke sekolah walaupun dengan pakaian yang lusuh dan sudah bertahun lamanya tidak bertukar baru.Bayangkanlah suasana yang mereka alami untuk ke sekolah sekarang adalah sama seperti saya bersekolah rendah dahulu. Bermakna mereka ketinggalan 37 tahun daripada kita di Semenanjung sedangkan kita bernaung di bawah satu negara yang bernama Malaysia.Kecekalan dan ketabahan anak-anak Pitas ini wajar menjadi contoh kepada kita di Semenanjung yang lebih mewah dalam segala segi daripada mereka. Dengan lumpur di kaki dari lembab menjadi kering, mereka masih setia menghuni sekolah yang usang walaupun mereka sedari gurunya masih tidak cukup lagi. Mereka percaya berkat jujur dan ikhlas ibu bapa mereka berusaha mencari rezeki walaupun dihimpit kemiskinan, namun mereka tidak pula menjadikan itu semua sebagai alasan untuk mereka tidak ke sekolah. Semangat mereka membara untuk menjadi insan yang berguna dan mereka bertekad dengan pendidikanlah bakal merubah status keluarga mereka walaupun ianya akan memakan masa. Pada mereka biar mereka pincang dalam harta benda dan kemewahan, tetapi mereka tidak rela jiwa, jati diri, disiplin, sikap dan perangai mereka turut pincang dan miskin.Sedarilah kita sendiri yang patut menjadi model dan contoh teladan yang baik dalam membimbing dan mengasuh anak-anak.

No comments: