Monday, April 11, 2011

Putar belit dan adu domba berniat jahat Utusan siang, malam TV3

Bagi yang dijangka oleh Anwar Ibrahim. Manipulasi pertanyaan daripada media pengampu utusan dan pro utusan. jelas berita 'besar' bagi menghanyutkan pemikiran orang kampung dan memperbodoh-bodohkan orang bandar.

Ini kerana dalam sejarah dan perkembangan tamadun dunia. kawasan bandar lebih dahulu mengalami perubahan ketamadunan dan kepesatan perkembangan tamadun baik di Indus, China , India dan lain-lain lagi. Orang kampung janganlah berasa kecil hati.

Di bawah tajuk Anwar Berang , utusan meletakkan nya di muka hadapan. Mestilah ada tujuan dan ada niat, apa tujuan dan niat, kita sama-sama boleh jangka dan andaikan.

Moral ceritanya jelas mereka terlalu 'teramat' takut dengan Anwar, ini kerana Anwar ada lebih maklumat 'berkotak-kotak' berCD-CD tentang 'mereka'.

Ikuti jawapan Anwar kepada wartawan 'betina' itu dalam Blog List Malaysia dan Youtube, jawapannya dapat diketahui.

Semasa penulis menulis TV3 sedang menyiarkan melalui Buliten Utama. TV3 lagakan PDRM dengan Anwar . Itulah kerja-kerja media yang bertamadun, Pak lah inilah hasil Islam hadhari yang kamu tinggalkan ?

Anwar berang




KUCHING 10 April – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini berang ketika ditanya pemberita mengenai jam tangan Omega yang berhubung kait dengan video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang.

Sama seperti isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Anwar dilihat tidak mampu mengawal emosi pada satu sidang akhbar di sebuah hotel di sini apabila ditanya mengenai jam tangan tersebut.

Beliau sebaliknya menyalahkan media kerana bertanyakan soalan itu yang disifatkannya tidak ada kaitan dengan sidang akhbar yang diadakan.

“Kenapa jam ini ada kaitan dengan sidang akhbar ini? Isteri saya telah menjawab mengenai isu ini. Mengapa saya perlu jawab, nanti anda akan tanya pula sama ada saya mengunjungi hotel dan hotel mana,’’ katanya.

Menjawab soalan wartawan itu lagi, Anwar berkata, beliau tahu soalan itu bertujuan untuk membantu Utusan Malaysia melaporkan yang beliau gagal menjawab mengenai isu tersebut.

Anwar pada masa yang sama mendakwa polis masih belum memintanya untuk menyerahkan jam tangan tersebut bagi membantu siasatan berhubung kes video berkenaan.

Kata Anwar, beliau mahu polis untuk menanya dan mengambil sendiri jam tangan itu.

‘‘Anda tanya ada polis minta? Saya beritahu polis tak minta. Biar polis yang menanya. Mengapa saya perlu menjawab mengenai soal ini? Biar polis yang buat,” katanya.




Gaji di Parlimen Malaysia ?


elaun ahli parlimen Gaji CEO & Elaun Ahli Parlimen di Malaysia

Kalau sebelum ini, Idris Jala merupakan CEO MAS yang mana pendapatannya adalah sekitar RM100,000. Sekarang ini, beliau sudah pun meninggalkan sektor swasta untukmenyertai barisan kabinet Malaysia yang ada pada hari ini apabila dilantik sebagai senator dan menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Berdasarkan laporan tahun 2008, pendapatan bagi Ketua Pegawai Eksekutif MAS ini di antara RM1 juta sehingga RM1.5 juta setahun.

Tetapi saat ini apabila beliau sudah pun bergelar menteri, elaun bulanan sebagai Datuk Idris Jala adalah sebanyak RM14,907, 20 ditambah dengan jawatannya sebagai senator di mana beliau turut menerima RM4,112.79. Ini tidak termasuk beberapa faedah dan inisiatif lain yang bakal anda lihat di bawah ini nanti yang jumlah minimumnya adalah sebanyak RM25, 619.99. Tetapi untuk setakat hari ini belum dapat dipastikan adakah imbuhan yang diterima termasuk sekali tugasan beliau selaku Ketua Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) dan juga ketua bagi unit KPI kerajaan Malaysia.

elaun ahli parlimen4 Gaji CEO & Elaun Ahli Parlimen di Malaysia

Tentunya sesuatu yang berbeza untuk dibandingkan antara anda berkhidmat untuk kerajaan dengan sektor swasta. Datuk Idris Jala pernah menyelamatkan MAS yang dihimpit hutang sebanyak RM3.08 billion untuk tempoh 3 tahun dengan cara menjual kapal dan beberapa bangunan lain untuk menyelesaikan krisis kewangan MAS sebelum ini (ini telah terdapat dalam hansard perbahasan baru-baru ini di Dewan Rakyat). Datuk Seri Idris pada awalnya merupakan Pengarah Urusan bagi Shell Gas & Power Malaysia (2002-2005) sebelum menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) pada Disember 2005. Selain golongan korporat seperti Idris Jala menyertai kabinet Malaysia adalah Tan Sri Nor Mohamad Yaakob yang sebelum itu bersama Bank Rakyat.

Kalau sebelum ini saya pernah menyentuh gaji pemerintah atasan sebelum ini, kali ini maklumat lebih terperinci berdasarkan laporan tahun yang dikeluarkan lewat tahun 2009.

  • Gaji Perdana Menteri – RM 22,826.65 sebulan
  • Gaji Timbalan Perdana Menteri – RM 18,168.15 sebulan
  • Gaji Menteri-Menteri Kabinet – RM 14,907.20 sebulan.
  • Gaji Timbalan Menteri-Menteri – RM 10,847.65 sebulan
  • Gaji Perdana Menteri Singapura : Lee Hsien Loong
    s$3 juta setahun (RM7.25 juta setahun, RM600,000 sebulan)
  • Gaji Presiden Amerika : Barack Obama
    US$400,000 setahun(RM1.4 juta, RM116,666 sebulan)
  • Gaji Perdana Menteri Britain : David Cameron
    £194,250 (RM1.1 juta, RM91,666 sebulan)
  • Gaji Perdana Menteri Australia : Kevin Rudd
    AU$330,300 (RM942,570, RM78,560 sebulan)

Kalau di negara Singapura, gaji Perdana Menteri diberikan setara dengan gaji ceo bagi kebanyakan syarikat gergasi di negara berkenaan. Ini kerana mereka beranggapan tugasan dan cabaran yang digalas oleh pemimpin Singapura adalah sama dengan penaung syarikat terkemuka di negara kota Singa itu. Berlainan pula, gaji CEO di Malaysia adalah jauh yang lebih tinggi daripada gaji Perdana Menteri dan juga barisan kabinet Malaysia. Pendapatan mereka ini termaktub dalam Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980 [Akta 237]

gaji ceo Gaji CEO & Elaun Ahli Parlimen di Malaysia1) Datuk Seri Mohamed Nazir Abdul Razak
CEO CIMB Group Holdings Berhad
RM9.35 juta setahun (RM779,166 sebulan)

2) Datuk Seri Zubir Murshid (telah digantikan dengan Datuk Mohd Bakke Salleh)
CEO Sime Darby Berhad
RM2.05 juta setahun (RM170,833 sebulan)

3) Datuk Yusli Mohamed Yusoff
CEO Bursa Malaysia
RM1.97 juta setahun (RM164,166 sebulan)

4) Datuk Seri Abdul Wahid Omar
CEO Maybank Berhad
RM1.78 juta setahun (RM148,333 sebulan)

5) Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin
Boustead Holdings Berhad
RM1.85 juta (RM154,166 sebulan)

elaun ahli parlimen2 Gaji CEO & Elaun Ahli Parlimen di Malaysia

  • Elaun bulanan ahli Dewan Rakyat : RM6,508.79
  • Elaun bulanan ahli Dewan Negara : RM4,112.79
  • Elaun bulanan ahli Dewan Rakyat : RM6,508.79
  • Elaun bulanan ahli Dewan Negara : RM4,112.79
  • Elaun untuk kehadiran bagi urusan rasmi (jarak lebih 32 km daripada kediaman atau pejabat ahli parlimen) : RM100 sehari
  • Elaun untuk kehadiran bagi urusan rasmi di luar Malaysia : RM150 sehari sehari
  • Elaun Hiburan : RM1,500
  • Elaun Istimewa : RM1,500
  • Elaun Pengangkutan : RM1,500
  • Elaun Telefon : RM900
  • Elaun Pemandu : RM1,200
  • Komputer peribadi : RM6,000 (maksimum)
  • Elaun kehadiran di Parlimen : RM200 sehari
  • Elaun kehadiran sebarang mesyuarat, seminar yang dianjurkan oleh Kementerian/Kerajaan : RM150 sehari
  • Elaun yang memerlukan mereka tinggal di hotel untuk urusan rasmi : RM350 semalam (maksimum)

Lain-lain kemudahan:

Ahli Parlimen yang menjalankan urusan rasmi turut boleh menuntut kos perbelanjaan yang dialami. Antaranya :

a) Penggunaan pengangkutan awam untuk urusan rasmi di mana tidak menggunakan kereta sendiri.
b) Parking dan bayaran tol
c) Kos perbelanjaan telefon yang digunakan untuk urusan rasmi
d) Kos dobi selama tinggal di hotel yang mesti disertakan resit sebagai bukti
e) Airport service charge mesti disokong dengan resit
f) Kos kelebihan bagasi berhubung dengan dokumen rasmi dan bahan disokong oleh penerimaan
g) penerbangan kelas perniagaan
i) kelas pertama bagi pengangkutan keretapi
j) lesen kenderaan
k) bilik kelas pertama di hospital
l) Pinjaman perumahan maksimum RM360,000
m) Pinjaman kenderaan maksimum RM100,000

Yakah kerajaan PAS susahkan rakyat ? Kerajaan Umno senangkan rakyat ?

Rencana muka dalam Utusan menyiarkan pentadbiran kerajaan PAS menyusahkan rakyat. Maknanya ada kerajaan PAS lawannya adalah juga kerajaan Umno. Ini kerana sinonim seterus PAS adalah Umno.

Jadi selama hari ini, semua kerja tindakan kerajaan Umno adalah 'tidak menyusahkan rakyat'. Walaupun kelmarin kerajaan Umno baru sahaja menaikkan harga minyak RON 97 lagi 20 sen menjadikan harga seliter kepada RM2.70. Manakala harga ayam kepada RM8.20 semua ini adalah tidak menyusahkan 'rakyat'. Malah rakyat terasa senang, aman damai dan sejahtera dengan segala-gala tindakan Umno.

Kini kerajaan mahu membina Projek MRT dengan kos anggaran mencecah RM50 billion, bagi menyenangkan seluruh pengguna kenderaan awam di Lembah Klang yang dianggarkan 1.5 juta dapat manfaatnya. Ini lagi satu projek yang menyenangkan rakyat.

Para pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran diwajibkan meminjam dengan PTPTN. Pinjaman ini wajib dibayar balik. Pinjaman seorang pelajar Umi Hafilda daripada Ulu Tembeling Jerantut, yang kini belajar di Lipis dan bakal menyambung pelajaran ke IPTA. beliau adalah anak sulung satu-satu harapan keluarga. Belum pun melangkah ke alam pekerjaan untuk membantu kedua ibubapa di Ulu Tembeling, beliau kena berhutang. Ini semua menyenangkan rakyat.

Seorang nelayan darat yang mahu menyiapkan sangkar ikan di Sungai Pahang, terpaksa berhempas pulas meminjam daripada rakan-rakan, harga sanhkar ikan mencecah RM10,000. beliau sudah beberapa kali menyiapkan paperwork hantar pihak TEKUN dan IKHTIAR. Jawapannya GAGAl. ini semua kerja kerajaan Umno, ia tetap tidak menyusahkan rakyat.



Keputusan kerajaan Pas menyusahkan rakyat

DALAM tempoh sebulan dua ini, isu pemberhentian perkhidmatan pembayaran bil bekalan air di pejabat pos menjadi topik perbualan hangat di kalangan rakyat di merata tempat di Kedah.

Kisah berkenaan menjadi fokus utama lebih-lebih lagi kepada penduduk di kawasan pedalaman seperti Sik, Baling, Padang Terap dan Bandar Baharu.

Ia bermula selepas Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) mengumumkan pemberhentian berkenaan mulai 1 Mac lalu dengan alasan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menaikkan komisen daripada 70 sen kepada 90 sen bagi setiap bil.

SADA terpaksa berbuat demikian kononnya untuk menjimatkan kos kerana sebanyak RM1.2 juta setahun diperlukan untuk membayar komisen jika syarikat milik penuh kerajaan negeri itu terus melantik Pos Malaysia sebagai agen kutipan.

Di kalangan rakyat jelata, kedengaran suara-suara merungut bahawa alasan tersebut dangkal dan tidak dapat diterima. Ini kerana, tindakan terbabit sebenarnya hanya menguntungkan kerajaan negeri, sedangkan rakyat teraniaya.

Jika dinilai secara terperinci, sebahagian besar daripada 500,000 pemegang akaun domestik SADA merupakan penduduk kawasan pedalaman.

Sebelum ini, mereka mendapatkan perkhidmatan di 46 pejabat pos seluruh pelosok negeri untuk menjelaskan bil air. Bagaimanapun, kini pengguna terpaksa menempuh perjalanan yang jauh ke pekan atau bandar semata-mata untuk membayar bil bekalan elektrik itu.

Langkah memberhentikan perkhidmatan terbabit di pejabat pos juga dilihat amat tidak praktikal memandangkan rata-rata bil penduduk kampung bukanlah dalam jumlah besar iaitu sekitar RM7 hingga RM10 sahaja sebulan.

Apabila kerajaan negeri memutuskan demikian, orang kampung terpaksa menaiki kenderaan atau menyewa teksi ke pekan sekali gus meningkatkan kos pengangkutan mereka.

Sekadar contoh, penduduk kawasan Felda Lubuk Merbau di Padang Terap perlu pergi ke pekan terdekat sama ada Kuala Nerang, Pokok Sena atau Pendang yang jaraknya kira-kira 40 kilometer hanya untuk membayar bil air.

Walhal mereka sebelum ini boleh menjelaskan bil itu di pejabat pos yang jaraknya tidak sampai dua kilometer dari rumah.

Keadaan diburukkan lagi dengan pembayaran bil air hanya boleh dibuat di 16 pejabat SADA dan pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau bank-bank terpilih yang kesemuanya terletak di pekan besar.

Di pihak SADA sendiri, perkhidmatan membayar bil dikatakan tidak cekap kerana sekadar membuka beberapa kaunter, malah waktu perkhidmatan terlalu singkat iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 3.30 petang serta ditutup pada hujung minggu.

Akibat itu, pejabat SADA menjadi sesak malah ada pelanggan terpaksa datang semula pada hari lain angkara terlalu ramai beratur untuk membayar bil pada satu-satu masa.

Bagi pemerhati politik, tindakan yang diambil kerajaan negeri itu benar-benar bertentangan dengan slogan Kedah Sejahtera yang dilaungkan mereka.

Situasi berkenaan memperlihatkan wajah sebenar kerajaan negeri yang tidak prihatin dengan nasib rakyat yang memberikan mandat kepada mereka mentadbir.

Walhal, mereka sebelum ini juga mendakwa telah memperoleh keuntungan hasil kecekapan mengurus sumber pembalakan lebih RM50 juta iaitu satu angka yang berlipat kali ganda berbanding sewaktu Barisan Nasional (BN) memerintah.

Jika benar memperoleh keuntungan besar, kenapa tidak boleh menanggung komisen bil air itu bagi mengurangkan beban rakyat jelata? Apapun, kerajaan negeri pimpinan Pas nampaknya lebih senang mengamalkan sikap 'kedekut' kerana tidak mahu keluarkan duit.

Ini bermakna semua beban dan tanggungjawab kini dipindahkan ke atas bahu rakyat jelata. Tidak keterlaluan dikatakan ia merupakan satu sikap yang cukup tidak bertanggungjawab.

Selaku kerajaan yang sentiasa memperjuangkan kesejahteraan rakyat, mereka tidak sepatutnya mudah untuk melepaskan bebanan kos. Dalam hal ini, kerajaan negeri harus belajar daripada kerajaan Pusat bagaimana ia terus menanggung subsidi minyak yang besar walaupun sedang berlaku kenaikan harga minyak di pasaran dunia.

Sekiranya ia boleh dilakukan, tidak mustahil rungutan akan berkurangan, malah mampu mengekalkan populariti di kalangan rakyat. Pun begitu, jika dibiarkan berterusan, sudah pasti rakyat Kedah akan 'menghukum' mereka dalam pilihan raya umum kelak.

Sunday, April 10, 2011

Pilihanraya Sarawak: Rakyat jangan dibodoh dan dibohongi terus menerus

Biasanya analisa media perdana setiap kali berlaku pilihanraya, adalah tindakan pertama dan utama mereka dengan memuji-muji dan memuja muja Bn 'secara keterlaluan' dibuat. Seolah-olah pengundi terlalu amat bodoh dan perlu mengikut telunjuk para penganalisa. Pengundi buta mata dan buta hati mereka. Pengundi tidak pandai menilai dan tidak boleh membuat penilaian.

Gambaran memperbodoh-bodoh rakyat secara keterlaluan bukannya sekali dibuat, tetapi sudah 12 kali mereka lakukan. Olahan berita dan paparan berita kemiskinan rakyat dibakul sampahkan. Paling keterlaluan iaitu rakyat termiskin di Sarawak kini tinggal 3 % sejak Bn mula berkempen.

Sedar atau tidak sedar , kini rakyat mulai sedar. Ketirisan , rasuah, penyelewengan kuasa, korup, pengswastaan kepada kroni, dasar ekonomi kepada bumi hanya kepada kroni. Liberalisasi pendidikan tiada biasiswa tetapi pinjaman. rakyat diajak berhutang dan menanggung hutang sebelum memulakan hidup dan kehidupan itulah kerja kerajaan Bn.

Lihat soaljawab dan paparan media di bawah, cuba nilai





Persoalan 'siapa akan menang'Oleh Mior Kamarul Shahid
Pengundi Sarawak perlu pilih calon, parti terbukti boleh jamin keamanan


SOALAN paling dominan dalam apa juga perbincangan politik berkaitan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-10 sekarang ialah 'siapakah akan menang'? 'Siapa' bermaksud parti bukan individu. Dengan spontan juga jawatan yang sering dinyatakan tanpa was-was ialah Barisan Nasional (BN) akan menang.

Setakat ini, sama ada perbincangan rakyat di Sarawak, Sabah atau di Semenanjung Malaysia sekali pun, belum ada sesiapa yang mengatakan parti pembangkang akan menang. Walaupun pembangkang meletakkan calon di semua 71 kawasan, ia sekadar memenuhi tuntutan demokrasi dan mencuba nasib. Keyakinan rakyat terhadap BN menunjukkan bahawa mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada gabungan parti 13 parti komponen yang memerintah negara hari Dari segi moralnya, majoriti rakyat tidak yakin dengan kemampuan pembangkang untuk mengemudi sebuah lagi kerajaan negeri. Keadaan ini jauh berbeza dengan senario sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil alih pentadbiran kerajaan dan menerajui BN.

Ketika itu tahap keyakinan rakyat berada pada tahap yang begitu rendah hinggakan ada yang bertindak ibarat perumpamaan ‘kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar’ sekali. Keadaan hari sudah jauh berubah. Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan pulih selepas kerajaan pimpinan Najib melakukan transformasi dan meletakkan asas kerja dengan mendahulukan kepentingan rakyat menerusi gagasan 1Malaysia.

Ini disusuli dengan program transformasi pelbagai sektor pengurusan dan pentadbiran kerajaan, di samping memberi nafas baru dan pendekatan progresif kerajaan. Rakyat juga kian sedar bahawa selepas tiga tahun kerajaan pembangkang mentadbir Pulau Pinang, Kedah dan Selangor, mereka lihat tidak ada perubahan dilakukan melainkan menimbulkan perbalahan demi perbalahan.

Ada kalanya mereka melakukan kerja ibarat lebih kuah daripada nasi. Sumbangan mereka kecil saja, tetapi riuhnya sekampung. Kerajaan BN sudah membuktikan kemampuan untuk membina sebuah negara dan negara-bangsa yang progresif, malah negeri yang dikuasai pembangkang hari ini dimajukan oleh kerajaan BN.
Ini adalah fakta yang tidak boleh dipertikaikan. Kerajaan pembangkang, di beberapa negeri yang wujud kesan tindakan rakyat menguji kerajaan BN, diberi peluang menunjukkan kemampuan mengurus negeri.

Pembangkang mengambil alih kerajaan negeri berkenaan yang sudah tersedia segalanya. Mereka kononnya mahu menegakkan keadilan, tetapi sebetulnya mewujudkan jurang diskriminasi yang lebih besar. Di Pulau Pinang, pelbagai peristiwa berlaku dan rakyat yang tidak berpuas hati kian meningkat.

Lihatlah slogan mereka yang bertemakan penentangan dan kontroversi yang menimbulkan kemarahan rakyat. Mereka tidak mengajak rakyat untuk membangunkan negara, negeri dan bangsa, sebalik menghasut rakyat supaya menentang kerajaan dan merampas kuasa. Hanya kerajaan Kelantan yang masih dilihat bertahan, itu pun kerana rakyat negeri itu masih menghormati Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai guru agama, bukan pentadbir kerajaan yang berkesan.

Itu sebabnya mereka memanggilnya tok guru sebab ilmunya adalah dalam bidang agama Islam, bukan mengurus sebuah negeri atau negara. Ramai juga yang beranggapan bahawa Nik Aziz adalah ahli politik dan layanan untuknya sepatutnya sama seperti ahli politik lain. Beliau tidak boleh lari daripada tindakan dan tindak balas politik.

Lagi pun, beliau berada dalam gelanggang politik yang pada hari tertentu dipuji dan pada hari lain dikeji sama seperti layanan kepada ahli politik lain. Walaupun ramai yakin BN akan mendapat mandat baru daripada rakyat Sarawak, ada pendapat mengatakan sebahagian besar kerusi majoriti Cina akan jatuh ke tangan pembangkang.

Ada yang terang-terang mengatakan ada kawasan majoriti Cina yang BN tidak ada harapan langsung untuk menang. Walaupun realitinya begitu dan ramalan itu ada asasnya, namun ia hendak dianggap sebagai cabaran besar buat BN. BN tidak boleh mendengar pandangan yang mengatakan bahawa BN tidak perlu berkempen di kawasan berkenaan.

BN perlu berpegang kepada prinsip ‘belum bertarung, belum tahu siapa menang – siapa kalah’. Ini bermaksud BN harus bekerja bermati-matian dan menggempur kawasan itu hingga ke saat akhir untuk memastikan andaian BN kalah di kawasan majoriti kaum Cina, adalah salah dan bermimpi di siang hari. Sebagai negara yang berpegang kepada gagasan 1Malaysia, tidak kira di mana saja sama ada di kawasan Bukit Bintang, Batu dan Kepong di Kuala Lumpur atau Pasir Pinji, Ipoh, batu Gajah Timur dan Barat di Perak, sebahagian besar kawasan di Pulau Pinang serta Kuching atau Sibu di Sarawak, sebenarnya BN boleh menang dengan bergaya.
Cuma, pemikiran rakyat perlu ditransformasikan, manakala parti politik BN perlu meyakinkan rakyat bahawa selama ini pembangkang hanya goyang kaki, tetapi kerajaan BN lah yang membawa kemajuan dan kemakmuran hidup rakyat.

Di Sarawak, ada pihak yang meramalkan bahawa dalam senario paling buruk sekali pun, BN akan kehilangan antara 15 hingga 20 kerusi, terutama di kawasan majoriti pengundi Cina. Ini semua taktik yang digembar-gemburkan oleh pembangkang supaya BN tidak memberi tumpuan di kawasan terbabit.

Bayangkanlah jika BN langsung tidak bergerak di kawasan kononnya hitam itu, mudahlah kerja mereka. Jentera pilihan raya mereka pula boleh membantu calon di kawasan lain. Inilah yang pembangkang harapkan. BN tidak seharusnya memberi laluan mudah dan perlu mempunyai semangat juang yang kental dan pantang mengaku kalah sebelum berjuang.

Kebelakangan ini, minat terhadap pilihan raya Sarawak ini bukan saja mendapat perhatian rakyat di Sarawak, tetapi juga di Semenanjung. Pilihan raya Sarawak ini menarik minat wartawan asing kerana ia dianggap sebagai pusingan pertama pilihan raya umum yang dijangkakan diadakan bila-bila masa dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sejak pilihan raya lalu, kerajaan BN sudah mengurus pembangunan negara dengan efektif dan banyak wang dibelanjakan. Rakyat pula tidak meragui kejujuran kerajaan untuk membangunkan negara. Ramai pihak mengandaikan jika BN menang besar, Pilihan Raya Umum Ke-13 akan diadakan secepat mungkin dengan anggapan ia akan meneruskan momentum untuk kemenangan yang lebih besar.

Jika pengundi mengambil kira kekukuhan BN pada peringkat nasional mereka akan menyokong calon BN di Sarawak yang dipimpin Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Perkiraan mudah ialah jika BN kukuh pada peringkat nasional, BN peringkat negeri diterajui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) juga adalah kukuh.

Sokongan rakyat akan meningkat jika mereka berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Taib. Berasaskan kepada isu yang dibangkitkan oleh rakyat, sebenarnya tidak banyak isu besar yang membimbangkan kecuali isu ketua menteri yang terlalu lama mentadbir Sarawak, selain isu tanah. Isu domestik lain adalah perkara biasa yang timbul setiap kali pilihan raya dan diselesaikan secara serta-merta.

Isu Taib tidak sepatutnya timbul jika pembangkang melihat cermin mengenai status dan latar belakang barisan kepemimpinan mereka sendiri. Mengapa tempoh perkhidmatan Taib selama 30 tahun dipertikaikan sedangkan ia tidak berbeza dengan beberapa pemimpin pembangkang.

Jika Taib berusia dalam lingkungan 70 tahun, Lim Kit Siang juga hampir sama usianya dengan Taib, juga sudah lama menerajui DAP. Sejak 1969, Kit Siang sudah dipilih sebagai calon pilihan raya kerusi Kota Melaka. Beliau berada dalam politik selama 42 tahun.

Karpal Singh, juga berusia 70-an dipilih pada 1974 bagi kerusi Alor Setar sudah pun 37 tahun dalam politik. Nik Aziz yang sudah masuk ke usia 80 dipilih sebagai calon Pengkalan Chepa pada 1967 dan sudah 44 tahun dalam politik.

Oleh itu, tidak perlulah melihat semut di seberang lautan sedangkan gajah di depan mata, buat-buat tak nampak. Taib sudah pun memaklumkan bahawa beliau akan melepaskan jawatannya dalam tempoh dua tahun akan datang untuk memberi laluan kepada pimpinan baru. Dalam parti pembangkang, belum tahu lagi. Pimpinan yang ada akan bertanding kerana mereka adalah yang yang ‘cakap tak serupa bikin.’

Bagi isu tanah di Sarawak yang dibangkitkan oleh banyak pihak sudah pun dijelaskan dari semasa ke semasa. Ini adalah antara isu tempatan yang dibangkitkan setiap kali pilihan raya kerana tidak ada isu lain yang mereka anggap boleh mempengaruhi pemikiran pengundi. Tetapi, apa juga yang dilakukan pembangkang, rakyat masih memilih BN.

Sebenarnya, suasana politik di Sarawak adalah aman. Keamanan di Sarawak diganggu gugat oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan isu yang tidak ada kaitan dengan rakyat Sarawak jika tidak ada parti luar mengambil kesempatan. Sarawak akan menjadi negeri yang aman.

PKR, walaupun sedar, mereka tidak dapat diterima di Sabah, tetapi masih menyangkakan rakyat mahukan kepemimpinan mereka. Penduduk Sarawak tidak nampak PKR boleh melakukan kebaikan di Sarawak. Janji parti itu kepada rakyat Semenanjung khasnya di negeri kerajaan pembangkang, tidak boleh dijadikan contoh yang baik.

Janji mereka tidak pernah ditunaikan. Rakyat Sarawak sedar, jika pembangkang memerintah Sarawak, mereka juga tidak akan menunaikan janji. Apatah lagi, PKR dan SNA akan menikam sesama sendiri. Jika dalam pilihan raya kali ini mereka tidak dapat membuat kata putus mengenai pemilihan kawasan dan calon yang bertanding, apatah lagi jika mere-ka diberi mandat untuk memerintah.

Pastinya politik Sarawak akan menjadi huru-hara. PAS bukanlah parti yang dekat dengan hati rakyat kerana parti itu tidak mempunyai kepemimpinan yang mampu mentadbir negara.

Mereka hanya melihat pemimpin PAS hanya berminat untuk berpolitik, bertikam lidah dengan BN dan terlalu taksub dengan pegangan agama sedangkan dunia sudah pun berubah, tetapi mereka masih bertikam lidah soal-soal kecil.


Saturday, April 09, 2011

Pelancaran Buku Jingga di Parlimen Paya Besar

PAYA BESAR: Ubah dan Selamatkan Malaysia daripada pelbagai kegerhanaan dalam kehidupan rakyat di Malaysia, menjadi tema penerangan Pakatan Rakyat. Dalam hal ini PAS Pahang melalui Jabatan Penerangan mula menggerakkan tahap kecaknaan rakyat dan mahu membina mewujudkan gelombang dengan menyemarakkan kesedaran rakyat di peringkat akar umbi.

Kekalutan , panik dan terkedu dengan Projek Buku Jingga Pakatan Rakyat yang membuat kerajaan Bn pimpinan Najib NKRA. Kerajaan Bn terlalu cemas dengan agenda tawaran-tawaran 100 Hari Pakatan Rakyat memerintah. 

Di samping dengan 3 paksi teras tawaran meliputi pelbagai masalah sosial, ekonomi, pentadbiran dan sebagainya.

Projek menyemarakkan Buku Jingga Peringkat Negeri Pahang lalu adalah pada 24 Feb 2011 yang dilakukan sendiri oleh Dato Sri Anwar Ibrahim di Kompleks PAS Pahang Darul Hikmah Kerdau, Temerloh Pahang.

Kelmarin PAS Pahang dengan kerjasama PAS Kawasan Paya Besar pula melanjutkan pelancaran Buku Jingga dan Buku Isu Isu Besar Pahang peringkat parlimen Paya Besar pada hari ini.

Program ini dihadiri hampir 100 orang peserta dari pelbagai peringkat jentera akar umbi. Mereka yang hadir difahamkan dan diperanankan menjadi mata rantai bagi memperjelaskan projek Buku Jingga ini nanti.


Lynas : Dailog Sisa radioaktif dengan Penduduk Kuantan

PAYA BESAR: selepas desakan bertubi-tubi dan bertalu-talu iaitu bantahan pembinaan kilang bagi melupus atau mengapakan aje sisa radioaktif di Kuantan oleh kerajaan Bn Pahang. Pihak pengurusan Syarikat Lynas akan mengadakan majlis dailog terbuka dengan semua wakil penduduk dan rakyat yang membantah pembinaan simpanan  'sisa radioaktif' di Kuantan.

PAS Paya Besar dalam satu kenyataan pada hari ini, menjemput semua ahli serta rakyat yang perihatin hadir ke dailong berkenaan pada 17hb April ini bagi mendengar penjelasan daripada pengurusan syarikat berkenaan.

Manakala di peringkat rakyat pula hadir bagi menyampaikan desakan supaya projek berbahaya ini tidak terlaksana di Kuantan, kerana ia amat memberhaya dan peristiwa seperti Bukit Merah di Papan Perak tidak akan berulang.

Justeru itu, semua rakyat yang perihatin di minta hadir beramai-ramai ke majlis dailog berkenaan.

Thursday, April 07, 2011

Mati pegawai kastam : Siasat SPRM lah cara telus

Kematian mengejut cara luar biasa seorang pegawai kastam di MACC tempat lokasi duduknya pejabat SPRM mencetuskan kontroversi baru. Ini kerana di Plaza Massala ini juga mendiang Teoh Beng Hock didapati 'menerjunkan diri' selepas disoalsiasat oleh para pegawai SPRM.

Jika satu ketika dahulu, kematian seumpama ini hanya boleh didengari cuma di negara-negara Barat ataupun melalui pembikinan filem-filem Hollywood tetapi di Malaysia 'ada mari' kes seumpama ini.

Gambaran dan persepsi kita amat banyak, pertama kini Malaysia Boleh bukan lagi Malaysia seperti dulu-dulu. Malaysia Lama dan Malaysia baru adalah Malaysia alaf baru. Peniruan perlakuan tindak ikut mestilah berdiri setanding duduknya sama tinggi dengan negara-negara Barat.

Kita merasakan inkues sama juga akan dibuat kepada gemulah pegawai Kastam ini. Hasilnya pergi balik dan balik pergi macam Teoh Beng Hock , yang akhir dicas terjun dan membunuh diri. Jalan mudah dan ringkasnya semua pihak kena lakukan perubahan segera pada PRU 13 yang akan datang.

jika tidak jawapan, skrip dan lakonan macam 'cerita lama tu lah.



Wednesday, April 06, 2011

DUN Sarawak : Info terkini DUN PAS Tandingi


Maklumat terbaru Tulang Besi dapat terus dari N15 Muara Tuang, pegawai SPR masih tidak mahu mengisytiharkan kemenangan kepada calon PAS di situ.

Calon BN, Ali Taib Mahmud tidak menyertakan laporan kewangan sewaktu menyerahkan Borang Pencalonan beliau. Mengikut undang-undang SPR sendiri, Borang pencalonan Ali Taib Mahmud (adik Taib Mahmud - Firaun Sarawak) itu secara otomatik dikira tidak sah.

Namun, pegawai SPR masih lagi teragak-agak untuk mengisytiharkan kemenangan kepada calon PAS. Sudah pukul 0115 petang, namun SPR masih lagi belum membuat pengisytiharan.

Ini satu perkara yang memalukan kerana jelas menunjukkan SPR adalah parti komponen Barisan Nasional

Tulang Besi

Sarawak: Ibarat badai menerjah pantai

Hari ini adalah 6 April adalah hari bersejarah bagi Sarawak. Penamaan calon bagi DUN Sarawak ke 10. Ramai pihak tertunggu-tunggu dan menanti dengan penuh debaran. Taib dan rakan-rakan Bn sekongkol untuk bertungkus lumus bagi 'memanjangkan' hayat pemerintahannya di bumi Kenyalang.

Jalan terakhir dan senjata akhir adalah SPR. Imej kerajaan tidak berduit dan berdikit-dikit menghantui 'seluruh' kakitangan. Zaman mewah dan kemewahan berbelanja bagi 'jabatan-jabatan' sudah berakhir.

Namun ada sesetengah yang 'sedar' dan ada masih tidak sedar. Bagi yang sedar dikira adalah baik. Bagi yang tidak sedar amatlah malang.

Imej kerajaan di mata orang kampung masih baik hingga kini, tetapi ingat di Sarawak agak lain daripada yang lain.

Rakyat bulat-bulat menerima apa sahaja sajian Bn, tetapi ingat tidak selamanya mereka boleh ditipu. Longgokan permasalahan demi permasalahan menggunung, sosialnya, jenayahnya, ekonominya, dalam masyarakat kian parah dan tidak dapat diselesaikan. Bak tiada penghujungnya.

Dan harapan kita agar, pilihanraya DUN Sarawak akan memberi 'tsunami' 9.0 skala ritcher kepada Bn.


Sunday, April 03, 2011

Kerja baru wakil rayat tonton video lucah

Satu lagi tugas wakil rakyat Malaysia alaf baru iaitu, menonton dan menjadi hakim bagi mempastikan siapakah pelaku dan pelakon video lucah. Arel Peterpon Indon tentu tersenyum dengan MP di Malaysia.

Inilah satu lagi bentuk kegilaan wakil rakyat Malaysia. Mereka tetap mahu membincangkan 'kerja siapa' daripada membincangkan 'kerja mereka'. Bagaimana semalam dan hari ini minyak RON 97 naik lagi kepada 20 sen menjadi RM2.70 seliter.

Menteri KPPDK dengan bangga dan angkuh bertanya kepada rakyat kerajaan terlalu baik kerana memberi subsidi RM4 billion setiap tahun hanya minyak ROM 97 dan RM4 billion lagi kepada minyak RON 95. nah, berapa baik kerajaan,

Sebaliknya mereka sibuk mahu menonton dan memperkatakan video seks berkenaan. banyak pihak yang diheret dan terheret dalam hal ini. PDRM tidak dapat tidak terheret sama, walaupun kita tahu mereka juga ada yang jijik dan benci dengan politikus khianat dan tidak bermaruah memainkan isu-isu sedemikian.




Wajar ditayang di Parlimen

KUALA LUMPUR 2 April – Rakaman video aksi seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin parti pembangkang wajar ditayangkan kepada semua wakil rakyat di Parlimen untuk dinilai sendiri oleh mereka.

Bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong berkata, ia bagi mengelak pelbagai pihak daripada terus membuat spekulasi dan mempertahankan pihak tertentu tanpa melihat rakaman video tersebut.

“Polis sudah mengesahkan bahawa rakaman video itu tulen, maka semua Ahli Parlimen perlu melihatnya dan membuat analisis supaya perkara sebenar dapat disampaikan kepada rakyat di kawasan yang diwakili mereka,” kata beliau dalam kenyataannya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pengesahan ketulenan rakaman video aksi seks itu oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar kelmarin selepas diteliti oleh pakar profesional.

Lum Yong menambah, sebagai sebuah institusi yang `kebal’, pelbagai perkara boleh dibincangkan di Parlimen termasuk menayangkan video terbabit kepada semua wakil rakyat.

Katanya, pembangkang juga tidak seharusnya melihat ia sebagai satu kekangan kerana mereka sebelum ini pernah lantang meminta supaya video seks membabitkan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, D. P Vijandran ditayangkan di Parlimen pada 1990.

Dalam pandangan serupa, Penyelaras Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Selangor, K. S Kottapan berkata, penayangan video itu di Parlimen dapat memberi keadilan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa sebagai individu dalam rakaman tersebut.

Apatah lagi, katanya, Anwar juga merupakan seorang Ahli Parlimen dan pernah membuat kenyataan menafikan bahawa beliau adalah individu dalam rakaman itu.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, tayangan video itu boleh menentukan tiga perkara penting iaitu soal integriti, kredibiliti dan konspirasi yang menyelubungi isu tersebut.

Katanya, apa yang menjadi keutamaan ketika ini ialah mencari kebenaran di sebalik rakaman video itu, seterusnya siapa berada di pihak benar dan siapa pula di pihak salah.

“Tayangan video itu di Parlimen juga membolehkan rakyat menilai sendiri adakah Anwar benar-benar `pemimpin anugerah Tuhan' seperti yang dikatakan isterinya,” kata beliau.

Media dan Bn tetap mahu perbodohkan rakyat

Sebentar tadi tepat jam 4.00 petang media eletronik, khasnya media elektronik perdana negara TV3 membuat lintas langsung pengumuman calon-calon mewakili Bn dalam PRU 10 Dun Sarawak.

Sepanjang sebelum sampai tarikh 4 April , TV1 macam biasalah membuat soroton slot Sayang Sarawak, siri tayangan ini berjaya memaklumatkan masayarakat umum tentang bumi Kenyalang.Paparan kemeralangan, kejayaan dan usaha-usaha kerajaan Bn menyediakan itu dan ini.

Lagunya tetap sama walaupun sudah 10 kali Sarawak berplihanraya Bn tetapi memainkan benda dan perkara yang sama. Seolah-olahnya pengundi Sarawk tetap semacam zaman mula mereka masuk merdeka bersama Tanah Melayu. Itulah bentuk layanan media terhadap rakyat Sarawak.

Paparan Sayang Sarawak adalah lebih kepada menguar-uarkan 'apa yang kerajaan Bn buat di sarawak'. Modal kerajaan Bn hanyalah memaparkan 'kejayaan' dari segi bangunan iaitu memberi fokus kepada pembangunan fizikal atau menjuruskan kepada pembangunan benda kepada rakyat Sarawak.

Kita bukannya tidak bersetuju dengan paparan rancangan-rancangan sedemikian, tetapi kenapa baru sekarang sibuk.

Jika diungkap sejarah Rosli Dhobi pejuang kebangsaan Sarawak jika masih hidup tentu akan mengeleng-gelengkan kepala. Apa yang beliau perjuangkan 'bukan' soal bangunan, jalan raya kemudahan asas sahaja tetapi jauh lbih daripada itu.

Bayangkan di semenanjung sahaja kelmarin diberitakan pembikin video membuat nilaian harta dan saham yang cuba diperolehi mencecah RM400 juta pada 1998/1999. Rahim T kini pengerusi RISDA.

Pilihan raya Sarawak: 10 lagi calon DAP diumumkan

03/04/2011 6:53pm

SIBU 3 April – DAP hari ini mengumumkan senarai nama 10 lagi calon parti itu yang akan bertanding di kawasan tengah dan utara pada pilihan raya negeri 16 April ini dengan menampilkan empat lagi muka baru termasuk seorang wanita.

Senarai pertama lima calon bagi kawasan selatan diumumkan di Kuching semalam yang menyaksikan tiga muka baru.

Pengumuman dibuat di sini oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada sidang akhbar tengah hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi DAP negeri Wong Ho Leng, yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek di sini dan mengetuai cabaran negeri untuk memenangi lebih banyak kerusi berbanding dengan pilihan raya negeri 2006.

Empat muka baru berkenaan ialah Ketua Wanita DAP cawangan Sibu, Alice Lau Kiong Yieng yang akan bertanding di DUN Bawang Assan; Yap Hoi Liong di DUN Dudong, Ling Sie Kiong di DUN Piasau dan Pengerusi DAP Limbang, Leong Kwang Yew di DUN Bukit Kota.

Berikut senarai penuh calon DAP bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10:

1. Bukit Assek - Wong Ho Leng

2. Kidurong - Chiew Chiu Sing

3. Meradong - Ting Tze Fui

4. Pelawan - David Wong Kee Woan

5. Repok - Dr. Wong Hua Seh

6. Pujut - Fong Pau Teck

7. Padungan - Wong King Wei (baru)

8. Batu Kawah - Christina Chiew Wang See (baru)

9. Simanggang - Leon Jimat Donald (baru)

10. Pending - Violet Yong

11. Kota Sentosa - Chong Chieng Jen

12. Bawang Assan - Alice Lau Kiong Yieng (baru)

13. Dudong - Yap Hoi Liong (baru)

14. Piasau - Ling Sie Kiong (baru)

15. Bukit Kota - Leong Kwang Yew (baru)

- Bernama




Dunia Malaysia: Dunia Caca marba

Banyak cerita-cerita yang bercampur baur, selepas pendedahan besar RM230 billion wang haram setaip tahun keluar negara. Terdahulu liwat fasa II , terkini pendedahan video lucah yang makin melarut dan Dato Seri Anwar akan terhukum. Malah lebih terkini 62 pegawai JKMD ditahan SPRM duit berbillion dengan siap jongkong emas, itu peagawai dan anak buah pegawai.

Inilah Malaysia tanah airku, Pilihanraya Sarawak makin hampir 6 April adalah hari penamaan calon. persidangan parlimen berakhir untuk penggal pertama pada 7 April. Dan pengundian pada 16 April 2011 (Sabtu).

Dalam pada itu Pengerusi SPR kata undi POS akan dipinda pada Jun akan dibentangkan pada persidangan Parlimen Penggal ke 2 nanti. Akan dipakai pada pRU13, biasalah tu, pinda tetap pinda tetapi yang lain-lain sama. Inipun satu hal lagi dan pulak.

Malah mufti hanya setakat berfatwa dengan mengharamkan poco-poco. Ramailah orang turut berbincang dan ambil bahagian sama.

Gejala sosial semakin meningkat, anak yang tidak sah tarah (bahasa lembut) makin ramai dan makin menjadi-jadi.

Program hiburan tetap berjalan, keputusan SPM dikatakan terbaik diabad ini. Sejak TPM jadi Menteri Pelajaran dan berbetulan zaman najib jadi PM.

Semua ini menarik untuk kita fikirkan bersama, persoalannya ke arah mana kita ?



2 pegawai JKDM ditahan - SPRM

PUTRAJAYA 2 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 62 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram serta pelbagai kesalahan lain dalam 'Operasi 3b' yang diadakan sepanjang minggu ini.

Mereka terdiri daripada 53 lelaki dan sembilan perempuan berusia antara 24 hingga 53 tahun.

Daripada jumlah itu, seramai 17 pegawai termasuk seorang yang berpangkat pengarah masih direman manakala selebihnya dibebaskan atas jaminan.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, penahanan itu membolehkan pihaknya membongkar pelbagai aktiviti mencurigakan membabitkan pegawai pasukan penguat kuasa itu.

Menurut beliau, antara pembongkaran yang ditemui adalah terdapat pegawai yang memiliki kereta mewah, jam tangan buatan emas, jongkong emas serta menyimpan wang tunai yang banyak.

Beliau mendedahkan, seorang pegawai kanan berpangkat pengarah memiliki wang tunai RM65,000 yang ditemui berselerakan dalam rumahnya dan memiliki RM2.1 juta dan RM500,000 dalam dua akaun berasingan.

"Selain itu, kami turut menemui berkotak-kotak bunga api dan mercun serta rokok-rokok kretek di rumah pengarah tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Operasi 3B tersebut diadakan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk membongkar aktiviti pegawai kastam di pelabuhan yang meminta dan menerima wang rasuah daripada ejen penghantaran.

Mustafar berkata, terdapat juga pegawai mengaku menerima RM100 untuk setiap borang pengisytiharan duti K1 yang diproses dalam tempoh lima bulan yang lalu.

Beliau berkata, SPRM turut menemui wang simpanan sebanyak RM850,000 dalam sebuah akaun serta simpanan Amanah Saham Bumiputera bernilai RM200,000.

"Selain pegawai yang menerima RM10,000 setiap bulan, kami turut mendapati ada pegawai yang memakai kenderaan mewah Toyota Estima walaupun gaji mereka tidak tinggi.

"Turut dijumpai dalam operasi adalah lima ketul jongkong emas bernilai RM50,000, jam tangan mewah yang dibuat daripada emas, dua pucuk pistol tiruan dan 241 butir peluru," katanya.

Mustafar berkata, operasi telah dilakukan di lima pelabuhan utama iaitu di Pelabuhan Klang, Kuantan, Pulau Pinang, Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang. Tangkapan paling banyak berlaku di Pelabuhan Klang.


Friday, April 01, 2011

Sisa Radioaktif: Cukuplah , dengarlah rintihan rakyat

Malaysia apa-apa projek berisiko tinggi yang mahu dibawa ke negara kita semuanya selamat. Itu adalah perakuan kerja-kerja orang politik yang berkuasa buat masa itu. Entah apa yang selamat dan semua selamat entahlah.

Giliran selamat Pahang kali ini adalah berhubung dengan pembinaan kilang memproses sisa radioaktif mahu didirikan di Gebeng Pahang.

Semalam, sekumpulan rakyat Pahang yang perihatin telah membuat demo di perkarangan parlimen, meminta kerajaan memberi perhatian dan menerima kebimbangan rakyat agar projek berbahaya ini jangan diuteruskan, sudahlah dan cukuplah dengan apa yang terjadi kepada peristiwa sama di Bukit Merah Perak menjadi iktibar kepada pemikir dan penguasa negara kita.

janganlah terlalu mahu mengejar kemajuan sehingga mengadai nyawa rakyat negara dalam jangka masa yang cukup panjang. Semua kita tahu displin rakyat negara kita, teknologi negara kita, tehap kecaknaan masyarakat kita. Jangan kerana pembangunan semua mahu digadaikan.

Dengarlah rintihan rakyat ...cukuplah... batalkan projek ini

Radioaktif: Pahang perlu faham rakyat bimbang
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Mac: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang berat kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang menyatakan pembinaan kilang pemprosesan sisa radioaktif di Gebeng, Kuantan adalah selamat serta tidak menjejaskan keselamatan penduduk persekitaran.

Sehubungan itu, Timbalan Presidennya, Amidi Abd Manan menggesa Kerajaan Negeri Pahang mengadakan dialog dengan wakil-wakil masyarakat setempat dan NGO-NGO yang membantah pembinaan kilang terbabit.

“Dialog ini amat perlu untuk mencari titik persefahaman di sebalik percanggahan serta perbezaan pandangan yang diutarakan kedua-dua belah pihak,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Abim juga, katanya turut menyarankan kerajaan negeri memahami kerisauan dan kebimbangan rakyat terutama sekali di kawasan Perindustrian Gebeng dan sekitarnya.

Katanya, kerisauan itu sebenarnya tidak boleh diketepikan begitu sahaja terutama sekali setelah tragedi kebocoran radioaktif yang melanda Jepun baru-baru ini, dan suatu ketika dahulu di Tasik Bukit Merah, Perak.

“Merujuk konteks tragedi Bukit Merah, kita telah menyaksikan kesan-kesan yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat setempat meskipun pada suatu ketika telah menerima jaminan keselamatan daripada pihak-pihak berkenaan terutama sekali Kerajaan Negeri Perak,” ujarnya.

Beliau menambah, adalah menjadi harapan menerusi pertemuan itu nanti, kedua belah pihak akan sama-sama menemukan kebenaran untuk membolehkan keputusan akan diambil dapat menjamin kepentingan bersama dan yang paling utama kepentingan generasi akan depan.

Dalam hal ini, ujarnya Abim sedia menawarkan diri sebagai platform perantaraan dan perbincangan di antara kedua belah pihak.

Menurutnya lagi, kelestarian alam dan kelangsungan generasi bukanlah satu isu yang sewenangnya boleh dijadikan modal politik untuk pihak tertentu mengejar dan mempertahankan kepentingan pihak tertentu.

Justeru, katanya proses dialog dan perbincangan seharusnya dibudayakan agar sebarang perancangan serta perlaksanaan sesebuah dasar dapat dilaksanakan tanpa mengabaikan kepentingan pelbagai lapisan masyarakat.