Sunday, October 05, 2008

Syabas Kyveas tembakan mu mengena ?

M Kayveas adalah Presiden pertama kerabat parti BN yang bercakap soal ini, iaitu satu kaum wakili satu parti sudah tidak relevan lagi di Malaysia. Kita tunggu apa reaksi UMNO dan sekutu-sekutu yang lain.

Paling kita nak lihat adalah reaksi daripada Samy Vellu, apa hal si Kayveas yang meracau tu..Namun setidak-tidak Kayveas sudah mula bercakap dan berpijak dibumi nyata, ia terima hakikat parti melukut tepi gantang ni dalam BN kena bersuara bagi kerabat lain nampak dan tidak pertikaikan.

Nah, sudah ada keberanian pada sekutu BN, Ezam amacam masuk dalam parti yang berubah dan banyak lakukan perubahan ni ? Tak kan duduk diam sahaja ...suaralah sikit ? Generasi pimpian baru dinamik dalam UMNO takkan lah diam sahaja !!!


Barisan Nasional (BN) perlu menjadi parti politik tunggal kerana parti berasaskan sesuatu kaum tidak lagi sesuai di negara ini, kata Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas.

"Sudah tiba masanya BN mula berbincang sama ada ia perlu menjadi hanya satu parti. Perlu ada perbincangan khusus untuk membincangkan perkara ini agar BN menjadi lebih relevan dan popular serta disokong setiap orang.

"Kita perlu tukar cara politik di Malaysia dengan pendekatan satu suara untuk semua rakyat. Kita nampak sekarang jika disuarakan untuk satu kaum sahaja, ada banyak rakyat tolak (cara itu)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PPP di sini hari ini.

Kayveas turut menolak kemungkinan parti itu akan menyertai pembangkang sekiranya cadangan untuk bergabung tersebut ditolak.

"Sekiranya saya mempunyai sumber dan pembiayaan serta lebih ramai pemimpin daripada parti komponen lain mahu menyertai (PPP) dan membina semula parti, tiada masalah untuk memikirkan menjadi satu lagi tenaga yang berdiri sendiri, tenaga ketiga.

"Saya fikir PPP sesuai menjadi tenaga ketiga, tetapi kita berfikiran rasional dan memikirkan apa yang terbaik untuk negara, kita memerlukan kestabilan politik. Berdasarkan itu, kita akan kekal bersama BN," katanya.

Kayveas berkata pemilihan jawatan untuk pergerakan Wanita dan Pemuda PPP akan diadakan pada 30 Nov.

Beliau berkata beliau sanggup membantu untuk membebaskan lima pemimpin Hindraf R. Kengadharan, 41, M. Manoharan, 47, V. Ganabatirau, 35, P. Uthayakumar, 47, dan K. Vasantha Kumar, 35, yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sekiranya diminta oleh Hindraf.

"Sekiranya anggota Hindraf kini tidak mempunyai arah untuk melakukan sesuatu perkara, jika mereka memerlukan pengetahuan dan kepakaran saya, saya sanggup membantu. Tetapi mereka perlu memintanya. Saya tidak mahu menawarkan diri," katanya. BERNAMA

Syabas anak bangsaku atas pengorbanan untuk negara !!

Walaupun berita 2 kapal milik MISC yang dipunyai negara 'dirampas' lanun disenyap atau digelapkan dengan alasan keselamatan dan sebagainya. Kita semua rasa syukur kes rompakan lanun selama 45 hari sungguh mengharukan.


Semangat ketabahan krew anak kapal boleh dianggap sebagai wira negara. Ia lebih bermakna dari anugerah RM1 juta kepada ahli sukan dan pencen bulan kepada Datuk ahli sukan. Nilai pandangan pemimpin negara terhadap sesuatu itu amat berbeda dan cukup ketara kerana mereka melihat daripada pelbagai kaca dan mata penilaian kepentingan mereka. Dan rakyat terbanyak turut sama menyokong dengan memberi kemenangan kepada mereka selama 51 tahun dah untuk terajui negara.... Apa boleh buat !!!!

KOTA BHARU 4 Okt. – “Saya tidak serik dan tidak rasa takut, malah pengalaman ini menaikkan lagi semangat saya untuk meneruskan kerjaya sebagai krew kapal. Saya tidak sabar untuk kembali bertugas.”

Begitulah kata-kata salah seorang mangsa tebusan kapal tangki MT Bunga Melati 2, Mohd. Salwadi Mamat setibanya di sini selepas seminggu dibebaskan daripada tahanan lanun di perairan Somalia.

Dia yang telah bekerja selama 10 tahun sebagai krew kapal memberikan jawapan spontan itu ketika ditanyakan pendiriannya sama ada akan meneruskan karier sebagai krew kapal tangki ataupun memilih untuk mencari kerja lain.

Mohd. Salwadi, 31, merupakan salah seorang daripada 79 anak kapal MT Bunga Melati 2 dan Bunga Melati 5 yang ditahan sebagai tebusan oleh lanun Somalia selama lebih sebulan semasa kedua-dua kapal berkenaan melalui Teluk Aden, Somalia.

“Sepatutnya saya menyambut 1 Syawal lalu bersama keluarga tetapi tidak berpeluang kerana pada masa itu kami masih dalam perjalanan selepas dibebaskan.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana masih berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga setelah lebih sebulan berjuang antara hidup dan mati.

“Terima kasih kepada kerajaan dan MISC kerana berusaha keras membebaskan kami semua,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa menggunakan pesawat tambahan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) pada pukul 5.30 petang ini.

Dia tiba dari Kuala Lumpur dengan ditemani oleh tunangnya, Nor Hazliza Mat Zin, 22, seorang penuntut Kolej Kejururawatan Kuantan.

Mohd. Salwadi bersama 78 anak kapal lain selamat tiba dari Djibouti dan mendarat dengan pesawat sewa khas milik Malaysian Airline System (MAS) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang pukul 4 pagi ini.

Pada 19 Ogos lalu, kapal milik MISC, MT Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal melibatkan 29 warga Malaysia dan 10 warga Filipina dirampas oleh lanun di Teluk Aden di perairan Somalia dan Yemen. Seorang anak kapal warga Filipina terbunuh akibat terkena peluru sesat.

Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal milik MISC, MT Bunga Melati 5, dengan 36 anak kapal warga Malaysia dan lima warga Filipina, dirampas di perairan yang sama semasa dalam perjalanan dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.

Pada 27 September lalu, kapal Bunga Melati 5 dibebaskan setelah MISC membayar sejumlah wang tebusan manakala kapal Bunga Melati 2 dibebaskan pada 29 September lalu.

Kesemua 79 anak kapal dilaporkan dalam keadaan sihat dan selamat.

Sementara itu, seorang lagi anak kapal tangki itu yang tiba pada pukul 7 malam, Baharuddin Mohamad, 36, berkata, semasa berada dalam tahanan perasaannya amat takut kerana beberapa kali diacukan senjata oleh kumpulan lanun itu.

“Saya tidak melawan kerana takut dibunuh tambahan pula apabila memikirkan nasib keluarga jika diapa-apakan," katanya.

Baharuddin ditanya sama ada dia mengetahui mengenai kematian bapanya, Mohamad Junoh, 64, yang meninggal dunia pada 13 September kerana pelbagai komplikasi penyakit dan tekanan perasaan setelah mengetahui berita penahanannya itu.

Jawabnya: “Saya langsung tidak tahu dan hanya dapat berita mengenainya melalui akhbar semasa tiba di Malaysia. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak mengetahuinya, jika tidak saya mungkin akan bertindak agresif semasa ditahan.

“Serik memang serik setelah melalui pengalaman pertama kali ditahan lanun sejak bertugas selama 13 tahun tetapi saya tetap akan meneruskan kerana kerjaya ini merupakan mata pencarian untuk menyara keluarga."

Baharuddin mempunyai tiga cahaya mata. Isterinya, Rohaya Naman, 30, kini sarat mengandung enam bulan.

Thursday, September 25, 2008

Kebejatan Manusia Melayu islam Malaysia

Memalukan....tidak boleh diiterima, demi melayan nafsu serakah diri. Dengan membelakangkan hukum dan peraturan Allah dan peraturan manusia, mereka para ahli tidak berpuasa sanggup memalukan diri dan umat Islam membeli makanan secara terbuka.

Gambar dibawah memaparkan tingkahlaku tidak berakhlak dan amat memalukan umat islam. Ini mengambarkan mereka secara berani mencabar penguatkuasa dan umat Islam secara terbuka.


Kuncinya mereka ini rata-rata oranag yang jarang-jarang sujud dan solat kepada Allah.



Ramai 'beraya awal' beli makanan secara terbuka


MENCURIGAKAN. Orang ramai termasuk yang dipercayai beragama Islam beratur panjang membeli makanan di restoran berhampiran Balai Polis Teluk Kumbar seawal pukul 10 pagi di Bayan Lepas semalam.


BAYAN LEPAS - Biarpun Hari Raya Aidilfitri akan disambut tidak sampai seminggu tetapi terdapat beberapa lelaki yang mula 'beraya awal' dengan ponteng puasa.

Tinjauan Kosmo! ke sebuah kedai makan di tepi jalan menghala ke Teluk Kumbar di sini mendapati ia menjadi lokasi pilihan orang Islam yang tidak berpuasa.

Restoran yang menjadi tumpuan kaki ponteng puasa itu hanya kira-kira 100 meter dari Balai Polis Bayan Lepas.

Malah lebih mendukacitakan, restoran itu turut mengundang kelibat kaki ponteng puasa dari kalangan pekerja beruniform kerajaan dan swasta.

Difahamkan kaki ponteng puasa mula membeli makanan dari pukul 10 pagi hingga 2 petang.

Sepanjang pemerhatian Kosmo!, mereka yang membeli makanan di situ cuba menyembunyikan wajah dengan berselindung di sebalik topi keledar dan kaca mata hitam.

Menurut seorang peniaga berhampiran yang hanya dikenali sebagai Amir, kegiatan itu bermula sejak awal Ramadan lagi dan setiap hari ramai lelaki kelihatan beratur di kedai tersebut.

"Tanpa rasa malu mereka selamba saja beli nasi bungkus sebelum beredar untuk dimakan di tempat lain," katanya.

Tambahnya lagi, apa logiknya jika dikatakan nasi itu untuk berbuka kerana ia dibeli pada awal pagi dan sebelum pukul 5 petang seperti kebiasaannya untuk berbuka puasa.

Bagi Abdul Majid Roslan, 45, beliau kecewa dengan tindakan peniaga kedai itu yang seolah-olah bersubahat kerana menjual makanan pada siang hari.

"Sepatutnya Jabatan Agama Islam Pulau Pinang memantau perkara ini kerana ia dilakukan secara terbuka di tepi jalan besar.

"Kalau boleh peniaga dan pembeli itu dikenakan hukuman berat agar mereka insaf dan mendapat pengajaran daripada tindakan tak bermoral itu," ujarnya.

Monday, September 22, 2008

Talibarut Amerika dengan taliperut UMNO BN

Selepas konspirasi tuduhan sodomi kedua ke atas Anwar gagal. Kini bagi mengabui mata rakyat terbanyak kerajaan bawah sokongan TV3, dalam Buliten jam 8.00 malam, memaparkan kerajaan BN masih 'maksum' daripada pengaruh AS. Sekarang dalang yang cuba mengugat untuk bawa pengaruh AS adalah Anwar Ibrahim.

Hujahan TV3 dikuatkan lagi, bilamana dapat sokongan daripada seorang prof madya jabatan sains politik UKM, yang terang-terangkan menyerang Anwar dan sekaligus mengampu UMNO.UMNO BN terpukul apabila tindakannya secara tidak bermoralnya mendapat teguran serta perhatian AS. Ini lah yang memanaskan buntut serta kuping telinga UMNO dan kerajaan.

Syabas Hafiz muda kita !!!

Qari muda harumkan nama Malaysia di Dubai




MUHAMMAD Ahmad Zahid (gambar) mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai kategori bacaan terbaik pada majlis Anugerah Al-Quran Antarabangsa Dubai (DIHQA) ke-12 yang berakhir di Dubai, kelmarin.

Apa yang lebih membanggakan rakyat Malaysia ialah al-hafiz berusia 13 tahun itu juga diberi penghormatan memperdengarkan bacaan Al-Quran pada majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Putera Mahkota Dubai Sheikh Hamdan Bin Mohammad Bin Rashid Al Maktoum.

Guru dilarang bercakap ?

Selain ada 7 benda pelik dan ajaib di dunia, kini termasuk lagi dalam katogeri tersebut iaitu guru 'diarahkan' berhentikan bercakap.... Kehabisan idea dan buntu cara kaedah berfikir. Rasionalkah orang sehebat dan otak pintar seperti Razali Ismail bercakap sedemikian.

Kesimpulannya masuk dalam UMNO orang secerdik mana menjadi tolol dan dungu, kerana terpaksa bercakap menjaga legasi UMNO. Maka cara berfikir mereka adalah terlalu kuno dan dungu.

Jika arahan tersebut arahan mempertingkatkan kredibiliti pendidikan adalah wajar. Contohnya para guru diminta menjaga tuturkata , berakhlak mulia, bersopan dan bermoral ini kerana mereka adalah cerminan masyarakat yang bakal dan akan dilahirkan. Itu adalah arahan yang wajar dan boleh masuk akal diterima. adalah usaha - usaha ke arah penambahbaikan sistem dan institusi pendidikan negara. Ini arahannya supaya jangan bincang hal politik, sedangkan dari sei hakikatnya guru adalah 'penjana' dan memodalkan insan untuk lahirkan pimpinan dan kepimpinan negara serta usaha penerusan kesinambungan kepimpinan negara, guru adalah penjana dan institusi pendidikan sebagai 'kilangnya'.

Sepatutnya Razali kena bercakap dan pesan supaya guru-guru dapat usahakan lahirkan pimpinan berkualiti. Maka Razali mestilah diimbaspulihkan kepala otaknya.






Guru dinasihat jangan bincang soal politik di sekolah

Kementerian Pelajaran menasihatkan guru supaya tidak membincangkan isu semasa politik di sekolah kerana dikhuatiri ia akan mengganggu tugas sebenar mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail berkata kementerian tidak mahu guru menjadi seolah-olah penganalisis politik dan mereka sepatutnya menumpukan sepenuhnya kepada tugas mendidik.

"Beban kerja guru sudah cukup berat. Kita tidak mahu guru kita terganggu atau terpesong dengan apa yang berlaku dalam keadaan politik sekarang.

"Jadi, saya tidak mahu mereka membincangkan isu politik di kawasan sekolah terutama di kantin," katanya selepas menghadiri mesyuarat Permuafakatan Pengurusan Pendidikan, di sini hari ini.

Razali berkata dengan peruntukan yang besar daripada kerajaan iaitu sejumlah RM31 bilion menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), guru sewajarnya sedar tugas mereka adalah memastikan transformasi murid dalam bidang akademik, kurikulum dan sahsiah benar-benar dapat dijayakan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan kementerian, demikian menurut Bernama.

Bagaimanapun, katanya setakat ini kementerian belum menerima sebarang laporan mengenai kegiatan tersebut dan menegaskan seramai 360,000 guru di seluruh negara boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya didapati melanggar etika kerja.

Sementara itu, Razali berkata bagi memastikan guru tidak terus dibebani dengan tugasan di luar tugas hakiki mereka, kementerian kini menetapkan nisbah 17 guru bagi 10 kelas berbanding 15 guru sebelum ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan pengambilan 9,000 staf sokongan di sekolah supaya guru tidak lagi dibebani dengan kerja perkeranian atau tugasan di makmal sekolah.

Mengenai tragedi pelajar perempuan, Lai Ying Xin, 16, yang mati dibunuh selepas diculik, di Kulaijaya dekat sini, Selasa lepas, Razali berkata Jemaah Nazir sudah diarah untuk membuat pemantauan kejadian itu.

"Tidak banyak apa yang boleh dilakukan oleh kita kerana kejadian ini berlaku di luar sekolah...kita sudah membuat sesi kaunseling kepada keluarga mangsa," katanya.

Thursday, September 18, 2008

d day kerajaan UMNO BN !

D Day kerajaan BN yang ditetapkan pada 16 September 2008 telah berlalu. UMNo BN nampak menarik nafas lega. Dalam leka menafikan dan mempelekehkan 16 Sept, rasa cuak tetap ada kegelabahan satu persatu tertera rakyat dapat sama menilai.

Kini, giliran BN pulok bertindak menekan kumpulan pembangkang antara ugutan ancaman adalah ISAkan Anwar. Banyaklah rumurs dan alasan diberikan bagi menghalalkan tindakan tersebut. Pak Lah selaku PM dalam statement bersahaja nya tu anggap Anwar sebagai pengacau keselamatan dan ekonomi negara. Nah besarnya pengaruhnya tu !

Dalam kerajaan mencari talian hayat, ia bertindak meraban dengan menahan seorang blogger pada hari ini. Tindakan mengambarkan suasana 'gawat' dan 'mencemaskan' dalam negara cuba dicetuskan supaya rakyat dapat rasai bersama bahawa negara terancam dan diancam kegawatan dengan puncanya berpunca daripada perkara-perkara di atas itu tadi.

Tapi apa pun kita nantikan episod menarik masa depan ini ?

Tuesday, September 09, 2008

Koyak dan pijak Gambar sekarang kerja budak -UMNO tua

Dulu-dulu UMNO sering mendakwa PAS menghasut dan mendidik anak-anak belajar PASTI membenci pemimpin-pemimpin negara dengan ada bertindak memijak-mijak gamabar pimpinan UMNo dan negara.

Kini tulahnya bukan sahaja sekadar pelajar TABIKA Kemas memijak gambar Hj Hadi dan Nik Aziz tetapi retua UMNO dan otai UMNO bergelar Dato iaitu seseorang yang dihormati dalam masyarakat bertindak mengoyak gambar pimpinan Gerakan, apa macam ?


LUMPUR, 9 Sept (Hrkh) - Gerakan Pulau Pinang mengadakan mesyuarat tergempar semalam ekoran sidang akhbar yang diadakan oleh ketua Umno Bukit Bendera, Dato' Ahmad Ismail di mana seorang pemimpin Umno bertindak mengoyak gambar bekas ketua menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.


Malaysiakini melaporkan, dalam mesyuarat tergempar itu, kata Dr Koh, Gerakan Pulau Pinang mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Umno negeri tersebut.

Beliau turut membidas Ahmad yang didakwa membuat kenyataan yang menyinggung orang Cina kerana "telah menukar kesilapan peribadinya kepada konflik dan krisis antara parti-parti komponen BN dan yang paling teruk lagi, antara masyarakat".

Menurut Dr Koh lagi, tindakan penyokong Ahmad menurun, mengoyak dan memijak gambarnya, bukan sahaja dilihat sebagai tindakan yang tidak menghormati dan menghina beliau, tetapi juga keseluruhan parti dan BN.

Dalam sidang akhbar pada jam 10.30 malam tadi, Dr Koh berkata, pemimpin dan ahli Gerakan amat terperanjat dan marah dengan perbuatan tersebut,

Menurutnya, mereka kecewa dan sedih kerana ramai pemimpin badan perhubungan Umno negeri yang hadir di situ, telah membiarkan kenyataan dan perbuatan yang tidak bertanggungjawab seumpama itu.

Dr Koh juga berkata, amaran Ahmad supaya masyarakat Cina tidak bersikap seperti orang Yahudi di Amerika yang mahu menguasai ekonomi dan politik, sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak harus dibangkitkan sama sekali. - mks._


Iklan Teks

Monday, September 08, 2008

Mahu lari ke mana ?

Tindakan kerajaan BN pimpinan Pak Lah membawa lari MP-MP dalam lawatan sambil belajar ke Taiwan menjelang 16 September 2008, adalah satu tindakan terdesak. Ini menunjukkan mereka sendiri tidak berkeyakinan dengan MP-MP berkenaan, walaupun BN mendakwa pakatan dan persepakatan mereka adalah teramat utuh dan kukuh, mereka juga sering diuar-uarkan mempunyai banyak pengalaman dan cukup berpengalaman dalam menghadapi saat-saat sebegini.

Gertakan dan henjutan Anwar cukup berbisa, sehinggakan BN terpaksa mengikut isu yang dicipta Anwar. Kebiasaannya parti-parti pembangkanglah yang terpaksa bergelut dengan isu-isu dari pemerintahan, kerana mereka kurang senjata dan kurang isu yang mahu dimanipulasikan.

Justeru, kemegahan atau legasi bermegah-megah dengan bersikap bongkak keterlaluan sudah berakhir. Saat ini mereka cukup cemas dan merimaskan mereka.

DAP tidak terima lompat kerana wang

KUALA TERENGGANU 7 Sept. - DAP menentang kemasukan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dalam Pakatan Rakyat untuk menjayakan hasrat pembangkang membentuk kerajaan baru pada 16 September ini jika mereka melompat parti demi wang dan kuasa.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau tidak tahu apa yang ditawarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Ahli Parlimen BN, namun jika mereka lompat parti kerana mahu mendapatkan keuntungan kebendaan, tindakan itu tidak beretika dan tidak boleh diterima.

"Sama ada pembentukan kerajaan baru akan berlaku atau tidak pada 16 September ini ia bergantung kepada banyak perkara, kita perlu tunggu dan lihat.

"Tapi, jika Ahli Parlimen BN mahu keluar parti itu (menyertai pembangkang) untuk mendapat keuntungan kebendaan, ia tidak mulia dan kita menentangnya," kata beliau selepas merasmikan penubuhan DAP cawangan Sungai Tong, Setiu dan Kampung Cina, Kuala Terengganu di sini hari ini.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan keyakinan bahawa sekurang-kurangnya 30 wakil rakyat BN khususnya dari Sabah dan Sarawak akan menyertai pembangkang 16 September ini bagi membolehkan pembangkang menubuhkan kerajaan baru.

Menurut Kit Siang, DAP hanya akan menerima kemasukan wakil-wakil rakyat BN ke dalam pakatan pembangkang jika mereka berbuat demikian atas prinsip perubahan kerajaan yang ada sekarang baik untuk rakyat.

Beliau seterusnya menggesa supaya peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang melarang Ahli Parlimen meletak jawatan daripada bertanding dalam pilihan raya untuk tempoh lima tahun dimansuhkan.

Mengenai peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya semua pihak tidak mensensasikan isu perkauman, kata Kit Siang, perkara itu perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak iaitu parti pembangkang serta pemerintah sendiri.

Dengan memberi contoh isu kenyataan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail bahawa kaum lain menumpang di negara ini, beliau berkata, isu itu sepatutnya ditangani lebih awal.

Isu Terkini: Sejarah 300 ribu Cina terkorban di Tanah Melayu

Punca 300,000 Cina terkorban

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Sebanyak 300,000 orang Cina yang terkorban di negara ini sebelum kemerdekaan 1957 sebenarnya mempertahankan British yang menjajah Tanah Melayu, menurut ahli-ahli sejarah.

Menurut kajian sejarah, 300,000 orang Cina terkorban semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu kerana Jepun dan China berperang sejak tahun 1937 dan pertelingkahan antara dua bangsa itu merebak ke Tanah Melayu.

Profesor Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Nik Anwar Nik Mahmud berkata, kenyataan Setiausaha Agung MCA, Ong Ka Chuan kononnya 300,000 orang Cina mati mempertahankan negara ini adalah tidak benar, sebaliknya mereka mempertahankan kerajaan British ketika itu.

Katanya, orang Cina yang mati semasa pendudukan Jepun kebanyakannya adalah penyokong Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah membuat pakatan dengan British.

"Perlu dijelaskan bahawa matlamat PKM bukan untuk mempertahankan negara ini tetapi untuk menjaga kepentingan dan keselamatan mereka.

"British dan PKM telah membuat perjanjian bahawa orang Cina akan diberikan kerakyatan Tanah Melayu jika mereka membantu menentang Jepun dan tentera Jepun pula membunuh orang Cina kerana mereka dianggap sebagai tali barut British,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nik Anwar berkata demikian untuk membetulkan kenyataan Ka Chuan yang mendakwa orang Cina di Malaysia mendapat kerakyatan kerana berkorban nyawa mempertahankan negara ini.

Ka Chuan mendakwa, 300,000 orang Cina mati kerana mempertahankan negara ini semasa pendudukan Jepun pada 1940-an.

Pensyarah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, dua fakta sejarah yang tidak boleh diubah ialah orang Cina yang mati semasa pendudukan Jepun berjuang untuk diri sendiri.

"Orang Cina semasa pendudukan Jepun merupakan penduduk Tanah Melayu yang paling banyak diseksa dan dibunuh oleh tentera Jepun.

"Tentera Jepun menganggap orang Cina sebagai tali barut British dan mereka juga dibunuh kerana memberi sumbangan kepada Tanah Besar China semasa peperangan Cina-Jepun," katanya.

Menurut beliau, orang Cina di Tanah Melayu ketika itu kebanyakannya melarikan diri ke hutan dan menyertai PKM yang mempunyai perjanjian dengan British untuk menentang tentera Jepun.

Ahmad Atory menegaskan fakta itu tidak boleh diubah dan sebarang tindakan untuk mengubah sejarah dengan menyatakan 300,000 orang Cina mati mempertahankan negara ini adalah tidak benar sama sekali.

"Jangan buat kenyataan yang menyalahi fakta sejarah. Sejarah tetap sejarah dan tidak boleh diubah," katanya.

Minyak adalah puncanya !!!

rMasalahnya .... bukan peraduan tersebut yang menjadi masalah, tetapi minyak dan kerajaan itu sendiri yang bermasalah. Isu berbangkit bukan soal lembu punya susu sapi punya nama. keperluan terkini dan rakyat teruja serte berkeinginan , selain daripada mahukan emas intan belian, terkini adalah minyak , dalam memenuhi tuntutan keperluan manusiawi.

Maka sebagai syarikat minyak swasta yang Petronas fikirkan adalah soal keuntungan dan kehendak pelanggan. Maka menjadi keperluan dan tanggungjawab kerajaan mengutamakan kehendak rakyat yang di dalam ada menggunakan perkhidmatan serta memberi perkhidmatan.

Justeru tidaklah menjadi salah kepada Petronas untuk menawarkan kepada apa yang boleh ditawarkan, kecualilah apa yang mahu ditawarkan itu, tidak termampu dan tidak boleh ditawarkan olehnya.



"Henti pertandingan hadiah minyak' - Shahrir

JOHOR BAHRU 7 Sept. - Syarikat- syarikat minyak dan kenderaan diminta menghentikan pemberian minyak petrol sebagai hadiah pertandingan kerana gejala itu adalah perbuatan yang menyalahgunakan subsidi yang disalurkan kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad (gambar) berkata, keghairahan syarikat-syarikat terbabit menawarkan hadiah petrol adalah tidak bersesuaian dengan tuntutan hak rakyat.

"Syarikat-syarikat yang memberi hadiah petrol ini diminta menghentikannya sebab ia menggunakan subsidi kerajaan dan sekali gus melibatkan perbelanjaan wang rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pengagihan bubur lambuk kepada penduduk bandar raya ini di Masjid Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Menurut Shahrir, kerajaan menanggung subsidi sebanyak 30 sen bagi setiap liter petrol yang kini berharga RM2.55 seliter.

Katanya, tindakan syarikat-syarikat terbabit menawarkan hadiah seperti itu mungkin tidak disengajakan dan ia juga didorong oleh penyertaan para pelanggan.

Beliau menegaskan, syarikat-syarikat yang telah memulakan pertandingan seperti itu perlu menamatkannya.

"Penggunaan petrol sebagai hadiah tidak patut berulang lagi. Adalah tidak patut duit rakyat dilibatkan dalam pemberian hadiah... tindakan boleh dikenakan kerana petrol merupakan barangan kawalan," katanya.

Shahrir juga berkata, trend penurunan harga minyak global pada masa ini yang amat memberangsangkan dijangka memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

"Mungkin kita dapat lihat pengurangan harga barangan kelak menerusi mekanisme subsidi yang dilaksanakan," katanya.

Berita sediah : Al Aqsa dan nasibnya

Struktur Al-Aqsa terjejas


SEJUMLAH wanita Muslim bersolat dekat bangunan Kubah Emas di pekarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis pada Jumaat lalu.


BAITULMAQDIS - Pihak berkuasa Israel didakwa menjejaskan struktur asas Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur dengan membuka satu terowong besar di bawah bangunan berkenaan, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Terowong itu digelar oleh media sebagai lokasi pelancongan sudah pun menyebabkan retakan di struktur kawasan pejalan kaki Haram al-Sharif.

Kawasan Haram al-Sharif itu menempatkan sejumlah lokasi bersejarah seperti kubah emas di pekarangan Masjid Al-Aqsa.

"Tanpa sebarang keraguan di dalam pemikiran saya bahawa kerajaan Israel mempunyai hasrat dan keinginan untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa.

"Mereka (pihak kerajaan Israel) mahu melakukan (memusnahkan Masjid Al-Aqsa) dengan cara untuk menjadikan kemusnahan itu adalah akibat faktor alam semula jadi," kata Ketua Majlis Tertinggi Muslim yang memantau kawasan suci di Baitulmaqdis, Sheikh Muhammad Hussein.

Menurutnya, semua aktiviti yang dilakukan oleh pihak Israel di kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa adalah menunjukkan ia mahu memusnahkan kawasan suci umat Islam itu.

"Kini tiba masanya bagi umat Islam, kerajaan Islam dan pertubuhan Muslim di seluruh dunia untuk menghentikannya," katanya.

Beberapa pegawai Palestin dan pertubuhan penganut agama Islam termasuk Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) telah mengeluarkan banyak amaran terhadap kerja-kerja penggalian di pekarangan serta bawah tanah Masjid Al-Aqsa.

Pada bulan lalu, Jordan meminta Israel menghentikan melakukan sabotaj terhadap struktur Masjid Al-Aqsa dengan memberi amaran bahawa isu sensitif itu mampu mencetuskan seluruh rantau tersebut berperang. - Agensi.