Sunday, August 29, 2010

Biar kefahaman Islam diperkasakan untuk Ummah

Semangat berlumba-lumba menjaga 'agama' Islam adalah satu sikap yang terpuji. Kecaknaan umat Islam terhadap agama anutan mereka yang tinggi, peka dengan apa sahaja aktiviti yang berlaku sekeliling mereka adalah sesuatu sikap amat terpuji.

Kita tahu umat Islam negara kita cukup sayang, amat setia mereka terhadap agama islam. Sebarang pencerobohan terhadap Islam akan mendapat reaksi segera. Justeru jika ada mana-mana yang bukan islam masuk ke rumah ibadah umat Islam tentulah mendapat respon segera.

Lihat pelaporan dan perbahasan masyarakat terhadap isu ini. Justeru biarlah perbincangan sihat ini dibahaskan. Akhirnya akan dapat jawapannya nanti. Jika tidak berlaku isu ini, masyarakat tidak sedar akan agama yang berlaku terhadap agama mereka. Moga-moga isu ini akan meningkatkan kefahaman kita terhadap Islam itu sendiri.


Salahkah Bukan Islam Memasuki Masjid?

KECOH apabila dua wakil rakyat bukan Islam selepas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar berucap dalam satu majlis berbuka puasa di dewan utama Masjid Taman Sri Andalas, Klang pada Ogos tahun lepas sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan umat Islam.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dari DAP yang dikatakan menyampaikan 'tazkirah' di dalam Surau Al-Huda Kajang Sentral pada Ahad lalu sementara rakannya Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula diberi 'kebebasan' berada di saf paling hadapan di Masjid at-Taqwa, Selayang Baru.

Mengikut Kamus Dewan, tazkirah bermaksud ceramah ringkas tentang agama Islam sebagai peringatan.

Namun tidak dapat dipastikan kedua-dua Ahli Parlimen itu 'bertazkirah' atau tidak. Ataupun penggunaan perkataan 'tazkirah' sesuai digunakan dalam isu ini.

Kedua-dua mereka berada di rumah ibadah umat Islam atas jemputan jawatankuasa masjid dan surau terbabit dan adanya mereka di situ telah mencetuskan polemik yang dahsyat seolah-olah mereka telah meruntuhkan atau mencemari surau dan masjid sehingga ke tahap yang tidak boleh dimaafkan lagi.

Banyak pihak menghukum kedua-dua wakil rakyat bukan Islam ini seolah-olah mereka sengaja mahu mencemarkan rumah ibadah umat Islam sedangkan jelas mereka adalah seolah-olah mangsa keadaan.

Sebagai reaksi segera atas insiden tersebut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi terus menghukumkan bahawa orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat utama kerana mereka tergolong dalam berkeadaan hadas besar.

Kenyataan orang nombor satu JAIS itu ternyata bertentangan dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac lalu telah membincangkan `Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid'.

Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Menurut portal rasmi fatwa Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di alamat http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-pelancong-bukan-islam-memasuki-masjid-dan-ruang-solat-utama-di-dalam-masjid, bagaimanapun perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang. Pelancong dalam fatwa ini menyebut yang bukan Islam dan kedua-dua wakil rakyat itu sememangnya bukan Islam.

Dalam isu melibatkan Teo, jika mahu dipersalahkan sekalipun ialah melibatkan perkara etika berpakaian yang tidak tidak menutup kepala bukannya kerana beliau menyampaikan 'tazkirah' yang jelas bukan ceramah politik sebaliknya menyebut tentang bantuan pelajaran oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Namun, siapakah yang sepatutnya dipersalahkan dalam soal etika berpakaian para jemputan kalau bukan mereka yang menjemput? Dalam soal ini, pihak yang patut dipersalahkan sepenuhnya ialah Jawatankuasa Surau Al-Huda yang beragama Islam sepatutnya menegur atau menasihati Teo supaya berpakaian lebih sopan dengan menutup kepala.

Sebaliknya, beliau yang bukan Islam itu dibiarkan berada di bahagian depan surau tanpa menutup kepala. Sepatutnya ahli jawatankuasa perlu sensitif dalam soal ini.

Tetapi berlainan halnya dengan rakan Teo di Selayang. William berada di Masjid at-Taqwa, Selayang Baru dikatakan atas jemputan jawatankuasa masjid berkenaan. Beliau berpakaian sempurna, selain mematuhi etika pemakaian di dalam masjid.

Jadi adakah wajar beliau dituduh sebagai mencemarkan masjid? Sama-samalah kita fikirkan. Dalam isu ini, pendapat politik diletakkan di depan berbanding hukum dalam Islam. Wajarkah umat Islam mendahului nafsu politik berbanding hukum agama sendiri? Tepuk dada tanya selera.

Sebaik-baiknya kita rujuk pada hujah Jawatankuasa Fatwa dalam soal ini iaitu dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi (menghambakan diri dengan Allah) amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.

Selain itu, umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh (berlapang dada atau terbuka) dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.

Fatwa itu diakhiri dengan hujah bahawa keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid



Merdeka kah kita, Islam dimana , penganutnya macam mana ?

Ketertinggian Islam gagal kita martabatkan. Dalam kekecohan MAIS yang teramat terkilan dengan gelagat dan telatah jawatankuasa Surau Al Huda Kajang menjemput MP DAP Nie Chiing berucap telah menyundang kemarahan Sultan dan seluruh masyarakat Melayu Umno terhadap isu tersebut.

Kini kejadian yang lebih daripada itu, yang dilaporkan oleh media milik sepenuh kerajaan berlaku dalam negara di bulan Ramadhan yang mulia ini. Ikuti paparan laporan di bawah.

Justeru, kepada siapa yang mahu dipersalahakan, salahkan ibu yang mengandung ? Fikirlah kita bakalan menyambut kemerdekaan negara kali ke 53 hanya beberapa hari lagi. Apa bentuk merdeka kita, roh masih tidak merdeka, walaupun penjajah sudah lama meninggalkan negara kita. Inilah lagu lagu lama yang sering kita bawa, dan amat meletihkan


Tawar cabutan bertuah arak


PENGUNJUNG sebuah pusat hiburan di Kota Pendamar, Pelabuhan Klang menjalani ujian air kencing kelmarin.


PELABUHAN KLANG - Melampau dan memalukan umat Islam.

Itulah gambaran sebuah pusat hiburan dipercayai dimiliki oleh seorang lelaki Melayu di Kota Pendamar di sini yang memberikan kupon kepada pelanggan bagi setiap minuman keras dibeli untuk melayakkan mereka mendapat cabutan bertuah berupa arak dan wang tunai.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilihat tidak menghormati bulan Ramadan, lebih-lebih lagi rata-rata pelanggannya juga adalah orang Melayu.

Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar selepas pusat hiburan itu diserbu oleh polis, pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) kira-kira pukul 12 tengah malam kelmarin.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.





Surau: Antara simbah cat dan masuk sampai sumbangan

Antara masuk surau sampai sumbangan dan 3 pemuda simbah cat ke surau. Adalah dua berita berbeda. kes pertama berlaku di Selangor , dan kes kedua berlaku di Seremban.

Antara keduanya satu dikecohkan dan dibakar semangat. Dan menjadikan satu kemarahan umat buta masa ini. Sebaliknya satu kes lagi diselesaikan dengan para ibubapa serta jawatankuasa surau cat yang disimbah bermaf-maafan. dan kes ini dianggap selesai. Kes di Selangor ini tidak selesai. MP Neo Ching daripada DAP menjadi sasaran kemarahan MAIS dan kecaman 'umat Islam' Selangor kerana Neo dikatakan mencemarkan Ramadhan.

Inilah wajah dan dunia Malaysia dengan Islam menjadi agama rasmi negaranya. islam dijadikan sandaran untuk apa ?

Namun sebalik itu dalam apa yang tidak diheboh-hebohkan jumlah pelancong 'asing' yang masuk dan menjadi pelancong agama di masjid Putrajaya tiada pula menjadi masalah besar kepada mereka. Inilah jenis manusia kepala asap dan masuk air belaka pimpinan yang dangkal dan dungu dengan agama mereka.

Kita biarlah sahaja para ustaz Umno mencari kitab untuk diperbahaskan dalam kuliah. Dan biarlah ustaz kita jelaskan tentang hukum hakam bukan Islam masuk ke masjid atau surau.

Perbahasan ini lebih sihat dan rakyat mulai faham bila sesuatu kes berlaku. Rakyat akan lebih fokus dan mulai memahami kedudukan agama Islam. Dan Islam yang mudah dan tolerannya agama ini .

Moga-moga dengan peristowa ini orang Islam akan lebih faham akan agama islam itu mudah. Dan yang Islam lebih jelas tentang agama yang dianutinya.


Tiga remaja mengaku salah simbah cat

SEREMBAN: Tiga remaja mengaku bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak di sini, semalam atas tuduhan berasingan menyimbah cat merah dan membaling botol arak ke sebuah surau di Taman Sri Pulai, Sikamat, di sini, Isnin lalu.Semua tertuduh juvana berusia 16 dan 17 tahun, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan berkenaan.Bagi tuduhan pertama, seorang daripada mereka bersubahat melakukan satu kesalahan menyimbah cat di surau Taman Pulai Impian, Sikamat di sini, antara jam 3 pagi hingga 4 pagi, 23 Ogos lalu.Kesalahan itu adalah mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama.Bagi pertuduhan kedua, dua daripada mereka dengan niat bersama melakukan khianat dengan menyimbah cat di surau terbabit pada waktu dan tarikh sama.Mengikut pertuduhan ketiga pula, semua tertuduh dengan niat bersama melakukan khianat dengan membaling botol arak di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Saturday, August 28, 2010

Umno: Mahu imejkan Islam hak Melayu sahaja ?

PAS For All adalah satu bentuk slogan sejagat. Moto ini semakin diserlahkan , sebagai contoh semakin banyak tembok benteng halangan Islam yang dibawa PAS terhakis dan terlerai. Sebermula peristiwa pembakaran gereja , Islam mulai masuk ke gereja dengan majlis meja bulat pertemuan dailog bersama paderi, kemudian majlis berbuka Puasa dengan kehadiran bersama pimpinan dan masyarakat bukan Cina ke majlis-majlis anjuran PAS. Dan kini sebaliknya berlaku DAP dan Cina sendiri mengajak PAS bersama bagi meraikan masyarakat Islam berbuka Puasa dengannya.

Dan yang terbaru adalah isi khutbah yang dibelitkan iaitu, khatib mendoakan Lim Guan Eng dalam isi khutbahnya. Kini sudah juga terjawab selepas Umno membuat tohmahan dan cercaan terhadap PAS dan islam. berserta dengan laporan polis.

Kini lagi terbaru adalah undangan 'takzirah' oleh YB atau ADUN DAP di surau-surau meresahkan Umno khasnya di Selangor sepanjang bulan Ramadhan ini.

Yang jelasnya Umno cuba menjadi 'pembela' agama dan memangsakan PAS dengan cuba memberi imej PAS lah yang memperalatkan agama bagi tujuan politik kepartian mereka. Kini isu lama dan lapuk ini dimainkan.

Namun, kita bersyukur bahawa permaianan Umno ini sebenar adalah satu proses pendidikan kepada masyarakat bahawa islam itu cantik dan amat luas serta boleh diterima bagi masyarakat manusia.

Hujahan dangkal Umno, Islam pada tanggapan mereka jika di Malaysia adalah HAK MILIK KEKAL ORANG MELAYU. Ini adalah satu bentuk pemahaman yang cukup salah.

Thursday, August 26, 2010

Dangkal dan dungu: Isu Khatib doa Guan Eng selesai

Islam adalah untuk semua. Allah menjadikan kita berbangsa-bangsa serta bersuku-suku dengan pelbagai bahasa, supaya kita dapat kenal mengenal antara sesama manusia. manusia tinggi kerana ada akal padanya. Berbanding dengan kejadian mahkluk yang lain.

Isu khatib mendoakan nama Guan Eng dalam isi khutbah Jumaat mengegarkan seantero Malaysia. Hal ini kerana jarang-jarang berlaku. Maka menjadi satu kepelikan yang luarbiasa. media dan Umno mengarap supaya ia menjadi isu untuk diperbahaskan.

Maka hasrat UMno bagi mempolitikkan isu itu mendapat tempat, sementelah pula ia mula terlerai dan terurai. Yang nampak dangkal dan jahil adalah Umno kembali. Yang menang awal adalah media dan Umno, namun semua sudah terjawab. Umno tidak merasa malu dan jenisnya yang tidak malu, dan tiada apa yang harus dimalukan.

Islam Umno bagi masyarakat kampung yang jauh dari sudut maklumat sudah termakan. Macamlah jajaan mereka isu kafir mengkafir, sembahyang dua imam, dan amanat Hj Hadi terus menerus dikitar bagi masyarakat kejiranan yang buta maklumat dimomok dan disogok. hasilnya Umno berjaya juga, sebab itu ia kekal hingga ke PRU12.





ertahan khatib doakan Guan Eng pendirian kolot Pas

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Tindakan Dewan Pemuda Pas Pusat yang mempertahan khatib jemputan, Zakaria Ahmad mengenai doa yang dibacakan dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid di Pulau Pinang merupakan pendirian kolot parti itu.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan Pemuda Pas tersebut hanya akan menyebabkan agama Islam terus dipandang mudah dan diperlekeh oleh masyarakat luar.

Katanya, Pemuda Pas tidak sepatutnya menyokong atau mengizinkan perkara yang berbau politik mempengaruhi jemaah di dalam masjid.

"Mereka tidak layak menentukan halal haram doa yang dibacakan Zakaria.

"Sebaik-baiknya biar Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan mengenai isu berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dewan Pemuda Pas Pusat yang mempertahan Zakaria ketika mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid di negeri itu.

Menurut Reezal, tindakan Pemuda Pas mempertahankan Zakaria hanya merupakan pendirian yang berunsur politik semata-mata dan bukannya melibatkan hukum agama.

"Jika doa seumpama itu boleh dilakukan, kenapa ahli Pas di Kelantan tidak mendoakan musuh mereka dalam pakatan pembangkang, Karpal Singh, dalam khutbah Jumaat di semua masjid di negeri itu supaya menerima hukum hudud.

"Kita akan dapat tengok bagaimana reaksi rakyat Kelantan selepas perkara itu dilaksanakan," katanya.

Selain itu, katanya, banyak lagi tempat selain masjid boleh dijadikan tempat berdoa jika betul doa yang dibacakan Zakaria semata-mata untuk memohon kepada Allah supaya Guan Eng diberikan hidayah.

Saturday, August 21, 2010

Hudud Bukan Jawapannya - Karpal

Kita tidak marah dengan Karpal, kerana beliau bukan beragama Islam. Maka sudah tentulah dia tidak yakin dan percaya dengan Hudud iaitu Hukum Islam. Dalam negara ini undang-undang Islam bukan undang-udang negara. Walaupun agama islam dimaktubkan sebagai agama rasmi dalam perlembagaan.

Ini kerana penafsiran agama adalah penafsiran cara Barat tentang agama. Justeru kita jangan terkejut jika penafsiran agama itu adalah setakat digunapakai di peringkat negara seperti permulaan majlis rasmi dengan bacaan doa, awal siaran tv kerajaan dengan doa dan diakhiri dengan bacaan surah al quran. Kegiatan-kegiatan keagamaan bersifat juzuiayah di jabatan-jabatan agama dan program agama JAKIM dll. Itulah tafsiran agama

Maka pemahaman inilah yang digunapakai oleh Karpal, seorang pengamal undang-undang paling senior dalam sistem perundangan negara Malaysia merdeka.

Justeru itu, jika ada penafsiran baru yang menolak penafsiran lama. Maka Karpal yang berkemahiran tinggi bangun menolak dan menentang bentuk pemahaman baru ini. Oleh itu, kita lihat pertentangan Karpal dan MB Kelantan sentiasa menghangatkan suhu dan iklim politik tanahair kita.






Hudud Bukan Jawapannya - Karpal

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP Karpal Singh berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

Karpal berkata partinya tidak dapat menerima sebarang bentuk pelaksanaan hudud di negara ini.

"Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Karpal mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu semalam bahawa adalah wajar untuk berbalik kepada hudud oleh kerana beliau dakwa undang-undang sivil sekarang gagal mengawal jenayah dan penyakit sosial.

Namun, kata Nik Aziz, keutamaan mestilah menerapkan taqwa atau pendidikan agama terlebih dulu di kalangan rakyat.

Karpal berkata beliau amat jelas dalam perkara itu dan tidak mahu berhujah dengan Nik Aziz kerana pandangan beliau (Karpal) berdasarkan apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan negara sekular.

Karpal berkata pada 1988, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hanya undang-undang sivil terpakai di sesebuah negara sekular.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengenakan hukuman mati dalam kes buang bayi, dan menambah adalah lebih baik menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dan mengenalpasti punca masalah sebenar. -BERNAMA

Anwar Pantau Kandungan Khutbah, Dakwa Umno Bohong

Anwar Pantau Kandungan Khutbah, Dakwa Umno Bohong

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno sengaja bertindak menabur fitnah terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang apabila mendakwa nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin digantikan kepada nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat.

Anwar berkata, dakwaan berkenaan merupakan pembohongan tidak berasas yang dimainkan oleh Umno bagi menyemarakan api kebencian rakyat.

"Kami memandang serius fitnah terbaru yang dimainkan pimpinan Umno ini dan ia terbukti merupakan satu pembohongan semata-mata.

"Saya sendiri memantau perkembangan tersebut, membaca teks khutbah yang diedarkan dan menerusi rakan-rakan di Pulau Pinang mendapati tuduhan tersebut tidak berasas bahkan ianya merupakan satu fitnah demi laba politik pemerintah yang kian hari kian terdesak," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Media hari ini melaporkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang sebagai berkata bahawa beberapa masjid di negeri itu dikesan menggantikan nama Tuanku Mizan kepada nama Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.

Ahmad Zahid juga berkata, pihaknya mengesan perbuatan itu di beberapa masjid di Permatang Pauh, Tasek Gelugor dan Jelutong sejak minggu lalu.

Selain itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen berkata, Umno menggunakan kaedah politik perkauman sempit dengan memfitnah kerajaan Pakatan Rakyat.

"Kita yakin usaha pimpinan Umno ini tidak akan berhenti di situ sahaja, mereka pasti menganyam fitnah yang lain pula demi memecah belahkan muafakat masyarakat di negara ini yang mahu hidup dalam kerukunan dan sejahtera.

"Hanya dengan melakukan perubahan, politik perkauman sempit akan berjaya dihalang," katanya.

jangan polimekkan, sempitkan konteks dakwah Islam

Marah atau tidak rakyat tentang nama Lim Guan Eng disebut dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang. Jawapannya rakyat tidak marah, jika marah tanda nya mereka tidak faham.

Dalam Al Quran sendir nama Abu Lahab disebut dan banyak lagi manusia-manusia baik dimeteri Allah. Itu dalam Al Quran yang digunakan sepanjang zaman.

Bagaimana dengan khutbah. Sementelahan pula, doa khatib itu meminta penama yang disebut menerima Islam. Kesannya cukup besar dalam konteks dakwah kepada bukan Islam.

Kalangan mereka yang bukan islam tentu tertarik dengan apa yang dibuat oleh khatib ini.



– Bukan baru-baru ini tetapi kira-kira dua hingga tiga bulan lalu nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng disebut dalam bacaan khutbah solat Jumaat di Masjid Jamek Jelutong.


Ketua UMNO Cawangan Jelutong, Abu Kassim Ismail berkata, beliau yang ketika itu berada dalam masjid agak terkejut kerana nama Guan Eng disebut bagi mengantikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Menurutnya, khatib yang membaca khutbah mungkin khatib jemputan kerana bukan yang biasa bertugas di masjid berkenaan.

“Masa itu saya agak hairan kerana selepas mengucapkan semoga Guan Eng sejahtera, saya cuba mendapatkan nama khatib di papan kenyataan masjid tetapi tidak tercatat apa-apa.

“Biasanya ada ahli jawatankuasa masjid akan tulis nama khatib bertugas tetapi kali ini tiada, jadi sukar untuk saya mengenalpasti dari mana khatib itu dibawa, tetapi kemudiannya saya terus membawa perkara ini kepada ketua saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa nama Guan Eng digunakan dalam doa bacaan khutbah kedua solat Jumaat menggantikan nama Yang Dipertuan Agong.

Antara masjid yang terlibat termasuk Jelutong, Permatang Pauh dan Tasek Gelugor.

Tinjauan di Masjid Jamek Jelutong semalam mendapati bacaan khutbah hanya memfokuskan mengenai bayaran zakat.

Menurutnya, beliau tidak kisah sekiranya nama Guan Eng disebut namun tidak patut pula nama Yang Dipertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri dilupakan.

“Saya pun tidak tahu hukum hakam fatwa mengenai nama orang bukan Islam disebut dalam khutbah ini, tetapi bagi saya membelakangkan ketua agama negeri adalah salah dan dianggap tidak patut,” katanya.

Wednesday, August 18, 2010

Kenapa hiburan jalannya , apakah salah ?

Hiburan adalah satu cabang keperluan dalam hidup manusia. Semua manusia sukakan hiburan. Hatta Nabi Allah kita sendiri juga ada bentuk hiburan yang cuba menyelesakan para sahabat. Ini kerana matlamat hiburan itu mahu memberi ketenangan dan keselsesaan kepada manusia. Bagi agama kita batas hiburan mudah iaitu jangan melampau atau keterlaluan.

Sebab besarnya dalam soal ini, kerana terlampau atau kurang terlampaunya manusia itu mempunyai adalah tunjang 'NAFSU' . Ini adalah 'penyakit' jika tidak diurus dengan sebaik mungkin. Kesannya nanti terjurus ke arah kelalaian. Lalai akan menyebabkan tidak ingat diri. Dari tidak ingat diri terus tidak ingat Allah. Bila tidak ingat Allah mereka akhirnya akan engkar Allah. Engkar Allah mereka akan dilaknat. Jika dilaknat

Hari ini , dalam kegawatan masalah sosial berserta serangan daripada pelbagai sudut. Maka unsur hiburan diperhebatkan, malahan hiburan kita mahu menyaingi dunia hiburan Barat yang tidak hadnya.

Hiburan negara kita, yang salahnya kerana terlalu menguasai dunia informasi dan penyiaran hampir 60 % rancangannya di media samada cetak atau elektronik.

Penajaaan adalah satu bentuk perniagaan baru yang merancak dan mempergiat serta menyuburkan muzik. Kini semua aspek dalam segmen kehidupan dunia hiburan diselit. Hatta di majlis berbuka puasa sekali pun. Trend muzik merentasi semua aspek dan majlis dalam kehidupan kian rancak dan nampak usaha membendung semakin terkebelakang. Ibarat banjir air deras dalam mengelombangi kehidupan masyarakat dan manusia kita.

Hiburan sebagai sumber rezeki dan penyaraan kehidupan, Kini terlalu banyak bentuk-bentuk pertandingan nyanyian. Disuburkan dan disemarakkan , ulama perlu menegur kerana tahap atau indek hiburan negara sudah semakin melampau dan keterlaluan.

Aspek lain pula, nyanyian sebagai medium mencari glamour. Remaja dan anak muda kini ingin menonjolkan diri mereka sebagai 'orang yang dikenali' dalam masyarakat


HIBURAN

17 Peserta Terima Cek Jangan Lupa Lirik
Azlin Reza Azmi (paling kiri) dan Aznil Nawawi (paling kanan) bersama para pemenang program Jangan Lupa Lirik!. - Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN

KUALA LUMPUR: Seramai 17 orang peserta program realiti kuiz hiburan, Jangan Lupa Lirik! musim ketiga meneriam cek kemenangan masing-masing dalam majlis penyampaian cek yang diadakan di pejabat Astro Entertainment Sdn Bhd, Taman Equine di sini, pada petang Isnin lalu.

Mereka berjaya memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM251,000.

Tiga orang peserta membawa pulang jumlah wang yang besar iaitu Syed Putra Syed Ibrahim (RM100,000) Rosiah Baharuddin (RM50,000) dan Erfian Johari (RM25,000)

Jangan Lupa Lirik! telah berakhir pada 14 Ogos lalu.

Ia juga telah bersiaran sebanyak 24 episod selain daripada dua episod istimewa iaitu Jangan Lupa Lirik Raya dan Jangan Lupa Lirik Tahun Baru yang akan bersiaran pada musim perayaan tidak lama lagi.

Pengurus Saluran Astro RIA, Azlin Reza Azmi berkata, program tersebut memberi peluang kepada para peserta yang berkebolehan menghafal lirik-lirik lagu dengan baik sehingga berpeluang untuk memenang wang tunai sejuta ringgit.

"Para peserta tidak perlu mempunyai suara yang lunak tetapi memadai jika mereka dapat melontarkan suara dengan baik mengikut alunan lagu.

Aznil Nawawi menghoskan rancangan popular ini.

"Kami amat berbesar hati untuk berkongsi kegembiraan ini bersama para peserta dan badan amal yang terpilih untuk menerima sedikit sumbangan bagi pihak program di atas dasar tanggungjawab sosial," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian cek kepada pemenang rancangan itu.

Sebanyak RM50,000 akan disumbangkan kepada lima badan amal terpilih melalui episod Jangan Lupa Lirik Raya (JLLR) dan Jangan Lupa Lirik Tahun Baru (JLLTB).

Setiap badan amal yang terpilih akan menerima sumbangan sebanyak RM10,000.

Badan amal berkenaan terdiri daripada Persatuan Kebajikan Darul Najjah, Persatuan Kebajikan Teratak Shifa Kuala Lumpur & Selangor, Lembaga Pelawat Taman Sinar Harapan Cheras, Persatuan Sindrom Down Malaysia dan Lembaga Pelawat Kompleks Penyayang Bakti.

Jangan Lupa Lirik musim ketiga ini turut mengundang artis terpilih bagi membantu para peserta pada setiap minggu.

Penerbit Jangan Lupa Lirik! ialah Lydia Emalia Ishak manakala ia dihoskan oleh Aznil Nawawi.





Alahai ,siapa didahulukan, rakyat dengan setem ?

Jelas Kerajaan Umno Bn semakin tidak berduit. Rakyat didahulukan dengan mengekalkan rakyat dalam kesengsaraan. Selain kesesakkan rakyat dalam menghadapi harga minyak, gas, dan gula, serta kini ayam.

Kerajaan hanya mampu menurunkan 'pos kad raya' sahaja. Adakah kerajaan sebegini yang rakyat mahu kekalkan. Inilah salah satu slogan PM kita ini, yang satu ketika dulu mahukan rakyat Malaysia . bermindakan dengan minda kelas dunia.

Jika kerajaan yang ada hanya mampu menurunkan beban rakyat atas pos kad raya oleh kerana harga siling setem bagi satu surat biasa bawah 1 gram dengan RM0.60 sen. Apalah yang hendak dibanggakan.. siapa yang didahulukan ?



Pos kad raya hanya bayar 50 sen


ORANG ramai boleh menghantar kad ucapan Aidilfitri dengan kos serendah 50 sen bermula 1 Ogos lalu. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Hanya 50 sen dikenakan bagi orang ramai menghantar kad ucapan perayaan dalam pelbagai saiz dengan berat tidak melebihi 50 gram.

Harga biasa yang dikenakan adalah 70 sen.

Kadar promosi 25 peratus oleh Pos Malaysia yang bermula 1 Ogos lalu hingga 28 Februari tahun depan itu adalah bagi mana-mana destinasi di seluruh negara.

Ia meliputi empat perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina.

Ketua Sokongan Operasi Pos Mel, Zaidi Hussain berkata, promosi satu kadar rata yang julung kali diadakan itu dijangka dapat menggalakkan orang ramai khususnya generasi muda untuk menghantar kad ucapan.

“Penghantaran kad ucapan pada masa ini semakin berkurangan berikutan perkembangan teknologi Internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Kita yakin dengan promosi hebat ini, lebih banyak kad ucapan perayaan kepada rakan dan keluarga akan dihantar,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dinar: Kedengkian bukan kerana keelokkan




KOTA BHARU, 18 Ogos: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tindakan mempolemikkan penggunaan dinnar emas dan dirham perak di Kelantan adalah disebabkan sifat hasad dengki dan pihak tertentu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau tidak melihat penentangan penggunaan dinar dan dirham tersebut mempunyai asas yang kuat selain dendam politik Umno terhadap kerajaan PAS negeri itu.

“Tetapi kerana hasad dengki menyebabkan mereka menentang walaupun yakin perlaksanaan itu betul.

“Mereka pertikai atas dasar politik semata-mata walaupun dengan hujah yang kabur,” ujarnya yang juga Mursyidul Am PAS.

Jelasnya, sepatutnya perkara itu tidak menjadi isu apatah lagi kepada orang Islam kerana dinnar emas dan dirham perak sudah diguna sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di JKR 10, di sini semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan pusat sepatutnya menyokong usaha yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan yang berhasrat untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam.

Namun menurutnya, mungkin kerana sikap anti Islam dan hasad dengki yang mendalam, mereka terpaksa melawan dan menentang pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan.

“Mereka terus melatah kerana berasa sengal dengan usaha kerajaan Kelantan berusaha melaksanakan syariat Islam termasuk sistem kewangan,” ujarnya.

Usaha Kelantan mengeluarkan dinnar emas dan dirham perak jelasnya adalah bagi menjaga sistem kewangan agar tidak berterusan dimonopoli barat.

Negara Islam katanya perlu membuktikan kepada barat bahawa Islam mempunyai mata wangnya sendiri.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga akan mengeluarkan sebuah buku mengumpulkan pandangan-pandangan alim ulama berhubung penggunaan dinnar emas dan dirham perak.

Buku yang bakal disusun oleh kerajaan negeri itu juga akan mengumpulkan hasil tulisan dari kitab-kitab jawi dan Arab yang telah mendedahkan masaalah kewangan dalam Islam.

Masyarakat Kelantan antara yang gemar membeli dinnar dan dirham untuk simpanan terutama golongan wanita.

Dalam usaha menggalakkan penggunaannya, Tuan Guru memberitahu akan membayar zakat fitrahnya tahun ini dan masa akan datang menggunakan dinnar.


Sunday, August 15, 2010

Ramadhan sudut masing-masing ?

Ramadhan adalah bulan paling mulia. Sesiapa beramal dengannya tanpa mencampurkan perkara-perkara terlarang. Memberi peringatan kepada semua adalah hak kita dalam sama-sama mengejar pahala nasihat kita. Justeru niat itu biarlah dengan niat yang betul.

Terkadang didikan kita tersedari awal menyebabkan sesuatu perkara itu disalahfahamkan. Malah dengan pemahaman kita terhadap Islam seperti 10 orang buta memegang seekor unta sudah dikira islam bagi pemahaman seseorang itu. Oleh itu memahamkan Islam itu adalah perjuangan yang maju mundur. Ini adalah janji ALlah untuk membayar usaha mahkluknya yang sentiasa cinta akanNya.


Anak yatim hanya istimewa pada bulan Ramadan?

HARI ini hari kelima Ramadan. Lagu raya berkumandang di sana-sini. Hari ini bukan hari pertama lagu raya bergema. Iramanya ada di mana-mana sebelum anak bulan diteropong. Di pusat beli-belah dan di televisyen, irama lagu raya sememangnya kedengaran. Iklan raya juga begitu. Agak lucu, barang-barang yang tidak perlu untuk perayaan turut diberi diskaun hebat. Itulah penangan persiapan raya sehingga kadang-kadang menenggelamkan fadilat serta seribu satu macam nikmat bulan Ramadan.

Sepanjang lima hari berpuasa, berita yang dibaca hampir sama dengan musim-musim puasa yang lalu. Hari pertama bubur lambuk, polis trafik berbuka sambil bertugas, mercun, ditangkap kerana tidak berpuasa, berbuka di hotel tidak halal, berbuka bersama VIP di hotel dan macam-macam lagi.

Tiada yang baru. Maklumlah puasa setahun sekali maka pengulangan catatan itu tidak menimbulkan rasa bosan di kalangan pembaca kerana peristiwa seperti itu tidak berlaku pada 11 bulan yang lain.

Ramadan juga bulan anak-anak yatim diraikan di sana-sini. Bukan saja anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya juga menjadi tetamu istimewa majlis berbuka puasa. Mereka diraikan di hotel-hotel besar tetapi biasanya yang meraikan mendapat layanan istimewa berbanding tetamu yang diraikan. Pelik juga, daripada 12 bulan kalendar Islam, golongan itu hanya menjadi perhatian malah adakalanya jadi rebutan pada Ramadan dan Syawal. Adakah pahala bersedekah dan meraikan golongan istimewa pada kedua-dua bulan lebih tinggi berbanding bulan-bulan yang lain? Atau bulan-bulan lain golongan tersebut tersisih daripada jadual korporat?

Beratur

Biar pun istimewa, anak-anak yatim atau warga tua biasanya melalui prosedur orang biasa. Mereka beratur mengambil makanan sebelum berbuka, manakala di meja VIP hidangan disaji rapi. Tidak diketahui apa sebenarnya motif meraikan anak yatim di hotel. Seorang warga tua pernah menelefon mencurahkan rasa. Dia dijemput berbuka di hotel oleh sebuah korporat. Tiba masanya bukan dia dan rakan-rakannya yang diraikan tetapi VIP korporat itu asyik dengan kelompoknya sendiri. Mereka menikmati juadah yang terhidang tanpa peduli mak cik-mak cik yang terpaksa berbaris mengambil makanan. Terbalik pula jadinya. Itu kisah anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya yang kehadiran mereka amat dirasai sepanjang Ramadan dan Syawal.

Satu lagi tabiat yang menjadi-jadi pada bulan puasa tahun-tahun kebelakangan ini adalah sikap tidak menghormati bulan Ramadan. Yang tidak hormat itu bukan orang bukan Islam. Sebaliknya yang tidak hormat itu adalah orang Islam yang diberi pengecualian berpuasa. Golongan wanita yang uzur misalnya tidak malu atau tidak teragak-agak makan di medan selera pusat beli-belah. Mereka juga selamba beratur di restoran makanan segera. Biar pun dikecualikan daripada berpuasa namun bukan bermakna golongan itu boleh bersikap lepas laku tanpa memikirkan kesannya kepada Islam itu sendiri. Apatah lagi makan di khalayak ramai, seolah-olah tidak ada tempat lain untuk mereka mengisi perut yang sebenarnya tidak selapar mana pun. Seolah-olah boleh mati kebuluran jika tak makan.

Islam tidak rigid. Mereka yang mendapat pengecualian dan keistimewaan tidak dihalang daripada makan atau minum tetapi kena ada batasan, tata susila mesti dijaga. Seorang rakan berketurunan Tionghua pada hari kedua Ramadan menitip satu catatan berbunyi: ''Tanpa disedari dua hari saya telah 'berpuasa'. Rakan-rakan Muslim memberitahu saya tidak perlu berbuat demikian. Bukankah pelik untuk makan dan minum ketika orang lain berpuasa. Apa yang saya buat (berpuasa) kerana menghormati orang lain yang berpuasa, itu lebih penting.''

Jika Chloe ada hati untuk meletakkan rasa hormat terhadap rakan-rakan Islamnya yang berpuasa mengapa kita umat Islam sendiri tidak mempunyai keinginan untuk berbuat demikian.

Monday, August 09, 2010

PANDUAN PENERBITAN DI MSIA

Gambar-Gambar dan Iklan-Iklan Yang Dilarang Disiarkan Dalam Akhbar-Akhbar dan Majalah-Majalah

A. Gambar-gambar dan iklan-iklan yang dilarang disiarkan dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah adalah seperti berikut:

  • Gambar-gambar lelaki atau wanita yang berbogel;
  • Gambar-gambar lelaki yang memakai G-String sahaja;
  • Gambar-gambar wanita yang menunjuk-kan buah dada atau memakai baju tetapi sebahagian buah dadanya dibuka;
  • Gambar-gambar wanita yang memakai seluar dalam dan coli sahaja;
  • Gambar-gambar wanita yang memakai bikini;
  • Gambar wanita yang memakai pakaian yang jarang atau yang diperbuat daripada kain lace atau berlubang see through) yang mana bahagian-bahagian tertentunya masih boleh dilihat dengan jelas;
  • Gambar wanita yang hampir bogel di dalam pos-pos yang mengghairahkan;
  • Gambar wanita bogel yang dihitamkan bahagian-bahagian tertentu tetapi masih jelas kelihatan pos-pos yang mengghairahkan;
  • Iklan pakaian-pakaian dalam seperti coli dan seluar dalam yang dipakai oleh model-model atau dipakaikan kepada patung-patung (Jenama pakaian secara bersendirian sahaja boleh diiklankan);
  • Petikan ayat-ayat suci Al-Quran, memadai disiarkan terjemahan ayat-ayat itu sahaja dan dinyatakan surahnya;
  • Sebarang iklan daripada negara Israel;
  • Iklan-iklan yang menyiarkan gambar-gambar Ka’abah atau masjid sebagai latar belakang;
  • Iklan-iklan alat-alat contraceptive;
  • Gambar-gambar udara (kecuali dengan kebenaran Jabatan Pemetaan);
  • Gambar-gambar ruang di dalam semua protected places dan protected areas di bawah Ordinan 33/59;
  • Gambar-gambar ruang di dalam semua protected places di bawah Akta 88/72;
  • Gambar-gambar ngeri kejadian yang benar-benar berlaku (seperti wajah dekat seseorang yang berlumuran darah atau seseorang tanpa kepala akibat kemalangan);
  • Iklan-iklan dari Kedutaan Asing kecuali jika kebenaran telah diberi oleh Wisma Putra.

B: Iklan Produk Tembakau

Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 1993

Pengiklanan hasil tembakau dilarang. Ini termasuklah seperti berikut :

  • Tidak boleh mempamer, menyebabkan atau membenarkan di pamer, atau memberi kuasa mempamer, sesuatu iklan hasil tembakau;
  • Gambaran sebarang hasil tembakau, bekas termasuk kotak, tin, atau paket hasil tembakau atau yang mengilustrasikan / mencerminkan perbuatan merokok;
  • Tidak boleh menjual, atau menyebabkan / membenarkan dijual, apa-apa filem atau pita video atau apa-apa benda yang dihasilkan atau diedarkan di Malaysia, yang mengandungi iklan hasil tembakau;
  • Tidak boleh mengedar, atau menyebabkan / membenarkan di edar, apa-apa risalah, sebaran dokumen yang merupakan iklan hasil tembakau kepada orang ramai;
  • Tidak boleh mencetak atau menerbitkan iklan hasil tembakau dalam apa-apa penerbitan bercetak, buku, majalah, risalah, sebaran, surat khabar atau bahan bercetak yang diterbitkan di Malaysia.

Pengecualian :

  • Iklan hasil tembakau yang terdapat di dalam / pada bungkusan yang mengandungi hasil tembakau;
  • Penerbitan oleh pengilang hasil tembakau dalam majalah yang dimaksudkan bagi pengedaran kepada pekerja-pekerja pengilang itu sahaja;
  • Iklan yang di pamerkan di dalam kedai atau tempat jualan runcit di mana hasil tembakau ditawarkan untuk jualan


Berkuat kuasa 14 Ogos 2004, pengharaman bagi semua jenis promosi tembakau kecuali kelonggaran untuk sukan bola sepak hingga akhir tahun 2004 serta kelonggaran bagi sukan bermotor F1 sehingga awal tahun 2006.

Berkuat kuasa 12 Mei 2004, larangan menyeluruh bagi promosi jenama rokok terhadap semua media cetak termasuk penerbitan yang diimport untuk edaran di negara ini.


C: Iklan Ubat

Iklan-iklan ubat diwajibkan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia. Tiap-tiap iklan ubat yang hendak disiarkan di dalam akhbar atau majalah hendaklah disertai dengan nombor kod rujukan kelulusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Adalah dinasihatkan supaya mendapatkan salinan surat kelulusan tersebut daripada syarikat yang mengiklankan.

D: Iklan Talian 600

Berkuat kuasa 4 Sepetember 2002, semua bentuk iklan yang menawarkan perkhidmatan perbualan melalui talian-talian telefon dalam media cetak termasuk majalah diharamkan.

E : Garis Panduan Liputan Perbicaraan Kes Jenayah dan Pembunuhan Akhbar Tempatan

  • Mengelak mensensasikan kes berupa liputan berita secara spekulatif dan tidak berasas;
  • Mengelak memberi penonjolan keterlaluan dengan menyiarkan tajuk sensasi sahaja sebagai tajuk utama di muka depan akhbar;
    Membuat liputan berita kes secara saksama seimbang dan bertanggungjawab;
  • Berhati-hati agar tidak menyinggung dan menimbulkan reaksi negatif pihak-pihak tertentu sehingga menjejaskan ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat;
  • Memuatkan laporan di halaman dalam akhbar tentang perjalanan kes secara harian; dan
  • Tidak menyiarkan gambar ahli-ahli keluarga, terutamanya anak dan isteri tertuduh atau mangsa dalam kes jenayah seksual.

GARIS PANDUAN PENERBITAN JAKIM

Kriteria-Kriteria Utama Dalam Menentukan Kedudukan Bahan-Bahan Penerbitan Berunsur Islam :

  • Tidak Mengandungi Perkara-perkara Yang Menyentuh Kesucian Islam.
  • Tidak Mempropagandakan Akidah, Hukum dan Ajaran Yang Bercanggah Dengan Mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
  • Tidak Mempersendakan Dan Mempersoalkan Kewibawaan Sumber-sumber Hukum Islam Yang Utama Iaitu Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias.
  • Tidak Bercanggah Dengan Pegangan Mazhab Ahli Sunah Wal-Jamaah.
  • Tidak Bertentangan Dengan Fatwa Atau Pendapat Jumhur Ulama’.
  • Tidak Mengandungi Unsur-unsur Israiliat, Khurafat Dan Kebudayaan Karut.
  • Tidak Menimbulkan Keraguan Dan Kegelisahan Awam.
  • Tidak Mengandungi Penulisan Ayat-ayat Al-Quran Dengan Tulisan Selain Daripada Bahasa Arab.
  • Tidak Menyalahi Fakta-Fakta Sejarah.
  • Tidak Mengilustrasikan Gambar-gambar Para Nabi, Sahabat Yang Empat, Malaikat Serta Memperwatakkan Gambar-gambar Tersebut.