Monday, October 13, 2008

Saranan Timb Menteri Pelajaran Yang Tidak Logik !!!

Bila Timbalan Menteri Pelajaran memberi nasihat dan teguran, tiada apa yang salah. Moralnya apa-apa sahaja yang menjadi sebahagian daripada kehidupan, tidak semesti tidak boleh, cuma dalam agama kita ia janganlah berlebih.


Begitu juga dalam hal guru dan politik , adalah menjadi tugas menteri adalah melarang jika aliran menteri pegang itu berlawan dengan aliran apa yang guru-guru cakapkan. Maka terjadilah percanggahan kepentingan dan kemahuan serta kehendak. Maka di sinilah yang keluar atau terbit tidak boleh, dilarang, dinasihatkan dan seumpamanya.

Seandainya kemahuan Timbalan Menteri dituruti, maka jadilah pelajar-pelajar kita hanya dapat dikasi pelajaran sahaja, tidak dapat diberi pendidikan. Justeru mengikut kehendak agama keperluan hidup pelajar jadi tempang dan tidak seimbang. Jika guru-guru termasuk guru sejarah tidak boleh bercakap dan ambil tahu politik, maka kita minta supaya digugurkan semua bab-bab tertentu dalam buku teks sejarah tentang politik termasuklah dalam buku teks tingkatan 3 bagaimana UMNO diuar-uarkan sebagai pejuang tunggal memerdekakan negara.


Ikutilah saranan Timbalan Menteri Pelajaran...


Guru dinasihat tumpu tugas hakiki.Golongan pendidik dinasihatkan tidak terganggu dan terpesong dengan iklim politik semasa, sebaliknya terus komited memberikan sepenuh perhatian terhadap tugas hakiki iaitu mengajar dan mendidik anak bangsa.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, kerajaan mengharapkan semua guru terus profesional melaksanakan tugas mereka.

Beliau berkata, guru-guru usah 'sibuk' menjadi penganalisis politik semasa di sekolah, sebaliknya hendaklah menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugas hakiki mereka.

''Saya tahu sejak enam bulan kebelakangan ini keadaan politik tidak menentu tetapi tidak usahlah kita sibuk menjadi penganalisis politik.

''Terus tumpukan perhatian kepada akademik dan usaha membentuk sikap, sahsiah dan pembentukan diri anak-anak kita," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat permuafakatan dengan 25 pemimpin kesatuan guru di seluruh negara dan pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Razali yakin kira-kira 360,000 pendidik di seluruh negara tetap profesional dalam melaksanakan tugas mereka dan tidak mudah terganggu dengan keadaan politik semasa.

.

Kita mahu bertanya kepada UMNO , macam mana ni ?

Melihat kepada gambar di atas, timbul persoalan tiga pemuda yang bertindak memasang bendera UMNO. Adakah 'halal' tiga pemuda yang muda, mungkin 'masih bersekolah' bertindak memasang bendera UMno siang buta di ibu negara seperti yang dirakamkan dalam gambar foto di atas.

Ironis jika budak ini memasang bendera pembangkang terutama PAS. Maka akan 'gege' lah satu Malaysia. Bahawa bebudak 'bersekolah' ini tidak boleh campur dalam hal ehwal politik. Ia tidak boleh dan tidak wajar bertindak sedemikian.


Friday, October 10, 2008

Najib PM hebat kata

Najib bakal PM: "Impian Anwar tumbangkan BN makin sukar" kata Penganalisis

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam mengumumkan beliau tidak akan mempertahan jawatan presiden Umno dan akan melepaskan jawatan perdana menteri pada Mac tahun depan.

Beliau mengumumkan keputusan tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat dewan tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Menurut Datuk Seri Abdullah, beliau akan melepaskan jawatan perdana menteri kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, selepas perhimpunan agung Umno pada Mac depan.

Secara tradisi, presiden Umno menjadi perdana menteri dan pengerusi BN, parti campuran yang memerintah Malaysia.

Ini bermakna peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib yang sebelum ini ditetapkan pada Jun 2010 akan berlangsung setahun lebih awal.

'Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat. Oleh itu saya tidak akan mempertahan jawatan presiden Umno dalam perhimpunan agung akan datang,' kata Datuk Seri Abdullah dalam satu sidang akhbar.

Datuk Seri Abdullah, 68 tahun, berkata beliau memutuskan untuk meletak jawatan kerana tidak mahu melihat Umno berpecah belah.

'Saya tidak mahu melihat Umno dan Barisan Nasional berpecah belah.

'Umno dan Barisan Nasional perlu bersatu dan kukuh bagi menangani cabaran global, agar kita berjaya menjadi sebuah negara maju, yang menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua,' tambahnya.

Menjelang peletakan jawatannya, Datuk Seri Abdullah berikrar akan memperkukuh sistem kehakiman melalui penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, dan menangani masalah rasuah dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah yang bidang kuasanya lebih besar daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang ada sekarang.

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam berkata beliau gembira kerana sangkaan beliau bahawa Datuk Seri Abdullah tidak akan melepas jawatan ternyata silap.

'Saya gembira kerana Umno sebagai sebuah parti dapat dibangun semula,' kata beliau kepada pemberita.

Sementara itu, para penganalisis berkata ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan menghadapi kesukaran menumbangkan kerajaan BN jika Datuk Seri Najib menjadi perdana menteri.

'Sebaik saja Najib mengambil alih, semakin tipis kemungkinan (anggota parlimen BN) akan melompat parti.

'Anwar tahu Najib orangnya tegas,' kata seorang penganalisis, Mohamad Mustafa Ishak.

'Anwar besar kemungkinan tidak dapat menumbangkan kerajaan BN melalui lompat parti tetapi ancaman pembangkang masih wujud,' kata seorang pensyarah sains politik di Universiti Sains Malaysia (USM), Lim Hong Hai. / Agensi


Anwar tahu Najib orangnya tegas

Api perkauman ditiup lagi .... kali ini oleh bakal PM baru Malaysia !!!

Masuk hari ke 10 umat Islam sudah berada di bulan Syawal. Buliten Utama berita TV3 dan RTM semalam masih lagi memuatkan dengan hidangan berita sensasinya berita ’membakar’ perasaan rakyat dengan berita kebiadapan Hindraf yang dikhabarkan ’mengganggu’ Rumah Terbuka Adilfitri menteri–menteri kabinet beragama Islam dan Pak Lah di PWTC pada 1 Syawal baru lalu.

Hari ini di kaca TV sahaja rasa marah meluap-luap dengan sikap biadap kurang ajar kumpulan Hindraf dijadikan inti berita ucap utama Najib kepada orang ramai di Terengganu.

Kenapa Najib bercakap begitu di Terengganu, kenapa RTM pilih ia sebagai berita dan mempunyai nilai berita ? persoalannya sebab negeri Terengganu majoritinya adalah rakyat Melayu. Atau apa agenda Melayu Najib di Terengganu, untuk berikan gambaran bahawa di adalah bakal PM Melayu selepas ini. Nampak gaya ’teguran’ Najib itu bukan sekadar mempunyai agendanya sebaliknya RTM juga ada agendanya tersendiri.

Sepatutnya Najib kena ingat , dia adalah Timbalan Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia, baik Melayu Cina, India, asli , serani dan lain-lain. Bukan TPM UMNO. Apakah Najib berada di Terengganu sekadar mahu menjadi TPM Melayu UMNO sahaja?

Justeru apakah pembaharuan dan perubahan yang UMNO BN mahu bawakan, sebab lagu yang dibawa oleh pemimpin2 ini adalah lagu-lagu lama. Perubahan yang dituntut rakyat terbanyak masih belum dapat diselami oleh Najib dan UMNO hatta RTM sekalipun. Mereka masih memainkan lagu-lagu lama dan cara-cara lama.

Maknanya jika berlaku huru hara Najib dan RTM lah yang wajar dipertanggungjawabkan. Kenapa ia boleh jadi begitu ? sepatutnya pemimpin dan media kita yang sudah matang dan masak tidak ’mencari’ populariti mudah dengan mengagendakan api kemarahan rakyat dengan perkara-perkara seumpama itu.

Sebab rata-ratanya kita tahu masyarakat Melayu mudah sensitif dengan benda-benda bersifat sedemikian. Biarpun islam dihina dan terhina. Jangan injak dan hina Melayu dan pemimpin Melayu, jangan dicabar soal ketuanan Melayu dan negeri Tanah Milik Melayu ini. RTm dan media lain BN UMNo harus dan wajar faham. Jangan gadaikan keharmonian rakyat untuk memanjangkan ’hayat’ kerjaaan UMNO BN di negara ini. Bersikap terbukalah dan berpada-padalah berpolitik.

Thursday, October 09, 2008

Najib Yang Dinantikan ?

arisan Nasional Dihenyak Pukulan Maut Masalah Dalaman


Episod penyerahan kuasa Pak Lah bermula pada Mac 2009, kuasa tersebut berkisar dalam UMNO. Dengan Najib sebagai Presiden UMNO sekaligus menjadi PM Malaysia, secara tradisinya.Banyak pihak terkejut termasuklah musuh dan kawannya.

Bagi yang bertandatanya mengapa Pak Lah yang pernah berkata dia bukan PM untuk satu penggal, gagal merealisasikan apa yang dikatakan itu. Mungkinkah desakan luar dalam cukup kuat dan hebat, tidak tertanggung dek nya.

Kini giliran Najib tunjuk kuasa dan kekausaannya ?

Pak Lah Undur : apa kata pembangkang ?

Pemimpin-pemimpin parti pembangkang semalam memberikan reaksi yang berbeza terhadap keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan sebagai Presiden Umno pada pemilihan akan datang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata Perdana Menteri dipaksa melepaskan jawatan tanpa kerelaannya, dan mengikut jangka masa yang bukan menjadi pilihannya.

Beliau berkata pengunduran secara tiba-tiba dan tidak sopan itu merupakan gambaran muram kedudukan politiknya yang lemah, yang mengakibatkan beliau kehilangan penghormatan oleh parti.

"Berbeza daripada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdullah dipaksa berundur," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di pejabatnya di sini semalam.

Beliau berkata ironinya, orang ramai lebih menghormati Abdullah berbanding parti Umno, kerana beliau dilihat sebagai "orang yang memiliki hasrat yang baik, yang mungkin seorang daripada beberapa kerat pemimpin bersih yang masih tinggal dalam Umno".

"Abdullah sepatutnya meninggalkan legasi dalam memerangi rasuah dengan mewujudkan tender terbuka dan mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) dan Umno yang menyalahguna kuasa," tambahnya.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini, Abdullah mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatanya sebagai Presiden Umno, dan akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Mac tahun depan.

Sementara itu di Kota Baharu, Kelantan, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat tindakan Perdana Menteri itu sebagai "sesuatu yang sudah terlambat".

"Kalau lepas (jawatan) pada Mac tahun depan, Perdana Menteri seperti rasa tidak bersalah, dan kalau bertanggungjawab pada parti atau negara sepatutnya letaklah jawatan sekarang," katanya kepada pemberita.

Nik Aziz turut menyifatkan tindakan Abdullah sebagai tidak bijak dan telus kerana ia akan terus mengeruhkan suasana politik negara.

Di Alor Star pula, Kerajaan Kedah pimpinan PAS berharap pengganti Abdullah nanti akan meneruskan hubungan mesra dengan kerajaan negeri.

Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata pihaknya akan berurusan dengan sesiapapun yang dilantik menjadi Perdana Menteri.

"Saya tidak mahu menjaga tepi kain orang dan perkara itu (keputusan Abdullah) adalah masalah Umno," katanya dan menambah, Kedah mempunyai hubungan baik dan mesra dengan kerajaan persekutuan, dan menganggap Abdullah sebagai pemimpin kerajaan yang menunjukan contoh terbaik dalam hubungan antara UMNO dan PAS.

"Bagaimanapun jika sudah sampai masa bagi Abdullah meletak jawatan ia sepatutnya melakukannya kerana pemimpin datang dan pergi adalah perkara biasa," kata Azizan.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata adalah sukar bagi Abdullah melaksanakan janji-janji beliau untuk melakukan pembaharuan, sebaik sahaja beliau mengumumkan rancangan pengundurannya hari ini, berbanding ketika beliau memperolehi mandat besar pada pilihan raya Mac 2004.

"Namun begitu tekad tersebut masih boleh dilaksanakan sekiranya Abdullah bersedia untuk melakukan sesuatu yang mustahil, dan menggunakan tempoh lima bulan sebagai Perdana Menteri untuk melaksanakan semua ikrar dan janji yang dibuatnya sejak lima tahun lepas," menurut beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tindakan itu perlu dilaksanakan mulai mesyuarat kabinet hari ini, dan juga pada hari pertama Parlimen bersambung pada 13 Oktober ini, dan menurutnya ia adalah pengunduran terhormat bagi Perdana Menteri kelima itu. BERNAMA

Dr M terperanjat Pak Lah undur, tetapi bersyukur !!!!

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau gembira apabila jangkaannya bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan berundur sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri, adalah silap.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau terperanjat apabila mendengar pengumuman Abdullah hari ini bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan akan melepaskan teraju kepimpinan negara.

"Saya gembira kerana UMNO akan dapat dibina semula," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dr. Mahathir, yang selama ini begitu lantang meminta Abdullah berundur sejak pilihan raya umum 8 Mac lepas, berkata beliau berharap Abdullah tidak akan mengenakan sebarang sekatan dan halangan dalam tempoh peralihan kepimpinan itu.

Menjawab soalan sama ada beliau akan kembali menganggotai UMNO selepas Mac tahun depan, Dr Mahathir berkata, beliau akan berbuat demikian dengan syarat mereka yang meninggalkan parti itu bersama beliau, turut diterima semula.

Ditanya apakah yang perlu dilakukan oleh Abdullah mulai sekarang hingga Mac tahun depan, Dr Mahathir berkata: "Diam."

Diminta mengulas tentang Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin yang berkemungkinan menjadi Perdana Menteri selepas ini, Dr Mahathir berkata beliau tidak tertarik dengan prestasi Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri sekarang.

Beliau menyifatkan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri yang tidak cekap kerana tidak mempunyai pendirian sendiri dan sering mengikut nasihat Abdullah dan oleh itu, Najib perlu membuat perubahan apabila mengambil alih teraju kepimpinan negara kelak.

Mengenai orang yang berkemungkinan menjadi timbalan Najib, Dr Mahathir berkata, ia sepatutnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pesaing lain yang ada sekarang bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden UMNO hanyalah "pak lawak" semat
a-mata. BERNAMA

Kepimpinan sudah rosak meneruskan pimpin negara ?

Sebelum meninggalkan kabinet Pak Lah sedang berusaha untuk meninggalkan jasa atau reformnya dalam pimpinan kerajaan dengan menubuhkan 3 buah suruhjaya. Antara nya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Aduan Khas.

Dengan meletakkan 3 suruhanjaya atau tiga inisiatif ini, Pak Lah pergi dari kepimpinan negara meletakkan 'telaga buruk' kepada Najib sebagai pengganti. Walaupun telaga buruk tersebut disediakan kepada Najib, jenis manusia macam tu tidak akan merasai apa-apa, sebab dalam diri pengganti beliau, ia jauh sudah rosak sebelumnya.

maka jadilah manusia yang sudah rosak memimpin negara, maka bertambahlah rosak serta huru haranya negara kita. nantikan dengan penuh debar ?

Pakl Lah berkuburnya ..'Bukan PM Satu Penggal'

Tanggal 10 September 2008, PM Malaysia iaitu Dato Sri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan dengan rasmi bahawa beliau tidak akan bertahan untuk mempertahankan jawatan Presiden UMNO menjelang pemilihan parti tersebut pada hujung tahun ini.

Pengumuman rasmi Pak Lah dibuat sebaik beliau selesai ‘memaklumkan’ kepada seluruh pengerusi rakan-rakan parti dalam kerabat BN di PWTC petang semalam.

Rentetan dan reaksi semua pihak semuanya ‘bersetuju’ dan menyanjungi serta menghormati keputusan Pak Lah dengan antara alasan demi negara dan rakyat serta tidak mahu BN berpecah belah maka beliau rela diri untuk berundur sebagaimana yang beliau bacakan di siding akhbar tersebut.

Maknanya Pak Lah mempunyai satu pertanggungjawaban yang cukup tinggi hebat pengorbannnya kepada negara , ini jaranglah diperolehi kepada mana-mana pemimpin Malaysia sejarah ahli politik Melayu Malaysia di abad ini.

Kita, sebagai komponen yang membangkang dan kritis terhadap kepimpinan Pak Lah amat mengalu-alukan pengunduran secara terhormat beliau. Maknanya kita mahukan kepentingan negara di dahulukan, agenda rakyatlah yang wajar dipertimbangkan. Kita tidak mahu rakyat terhimpit dengan ’kekangan’ hidup kerana silap catur dan pengurusan negara oleh pemimpin yang ’lemah’. Ini adalah sokongan terbuka kita kepada pimpinan Umno lain.Percaturan dan strategik lain Pak Lah kita tidak ketahui, samada simpati ahli Umno Bahagian yang akan bermesyuarat hari ini, mahu dan kekalkan Pak Lah. Walaupun pengunduran beliau tersebut adalah signal jelas daripada akar umbi menolak kepimpinannya yang menyebabkan BN jatuh merundum pada PRU yang lepas.


Wajar penukaran kerajaan kepada kepimpinan lain khusus dalam BN kerana kita mahukan kehidupan rakyat bawahan terbela dan dibela. Justeru pengganti yang dikira sebagai anak yang dititip oleh keturunan yang penuh karisma dapat berbuat sesuatu agar kehidupan rakyat teramai terbela. Namun harapan itu tetap ada.

Apa yang jelas penerusan dan peralihan kuasa dalam kepimpinan UMNO itu dibimbangi akan dipenuhi dengan mendung dan mega yang suram terjanjikan kepada negara Malaysia. Ini kerana jelas rekod orang yang mahu menggantikan Pak Lah adalah mempunyai rekod ’buruk’ dari segi peribadinya.


Cuma dimata rakyat harapan perubahan kepimpinan dalam UMNo dapat dicorakkan dengan usaha meremajakan Umno dan kepimpinan yang ada. Namun tokoh-tokoh yang mahu meremajakan Umno adalah terdiri daripada kumpulan remaja yang meracau-racau serta penuh dengan sejarah memperjuangkan perut sahaja. Belum ada tokoh yang diangkat sebagai pejuang rakyat yang tertonjol dalam kepimpinan baru pelapis UMNo buat masa ini.

Tuesday, October 07, 2008

Perbicaraan DSAI -mahkamah tolak dipindahkan

t

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang bersidang sejak pagi ini menolak bantahan awal pihak pendakwaan dalam isu permohonan memindahkan kes liwat Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi.

Pihak Pendakwa mengemukakan bantahan awal bahawa Mahkamah Sesyen tidak mempunyai kuasa untuk mendengar bantahan awal pihak pembelaan dalam soal permohonan memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun Hakim S. M. Komathy Suppiah berkata, beliau ada kuasa untuk mendengar bantahan awal dibangkitkan pihak pembela.

Kata beliau, Mahkamah Sesyen mempunyai budi bicara untuk memerintahkan pemindahan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Hakim itu juga berkata bahawa Mahkamah Sesyen mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahihan sijil yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Komathy membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan membantah pemindahan itu, mempersoalkan kesahihan sijil yang ditandatangani oleh Abdul Gani yang sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Pihak pendakwaan berhujah bahawa Abdul Gani, selaku Peguam Negara, bertanggungjawab menandatangani sijil itu mengikut prosedur pentadbiran.

Anwar membuat laporan polis terhadap Abdul Gani atas dakwaan memalsukan keterangan dalam insiden "mata hitam" Anwar pada 1998.

Menurut pasukan pendakwaan, mahkamah perlu mengarahkan pihak pembelaan untuk membuat permohonan bertulis bagi membuat bantahan awal memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah berehat sebentar kira-kira pukul 12 tengah hari di mana hakim menemui Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan ketua pasukan peguam Anwar, Sulaiman Abdullah di kamarnya.

Mahkamah bersidang semula 12.30 tengah hari.

Mahkamah Sesyen bersidang sejak pukul 10.05 pagi tadi bagi memutuskan sama ada perbicaraan kes liwat Anwar perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu Anwar tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.40 bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan peguam Sankara N. Nair.

Pada 24 September lalu, Hakim Komathy telah menangguhkan sidang sehingga hari ini untuk memutuskan keputusannya selepas menimbangkan hujah bantahan pihak pembelaan atas permohonan pendakwaan bagi memindahkan perbicaraan kes Anwar ke Mahkamah Tinggi, di bawah peruntukan Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah.

Pihak pendakwaan yang diketuai Datuk Mohd. Yusof telah mengemukakan bantahan awal terhadap bantahan peguam bela.

Anwar, 61, mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat Mohd Saiful pada 26 Jun 2008 antara jam 3.01 dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Sementara itu, Sankara ketika dihubungi semalam berkata, apa jua keputusan yang ditentukan oleh phak mahkamah akan diterima secara terbuka.

"Semuanya bergantung kepada keputusan mahkamah esok (hari ini)," katanya.

Jelasnya, apa yang diharapakan adalah kes tersebut tidak dibawa ke Mahkamah Tinggi.

"Kami berharap kes ini dapat diselesaikan segera dan tidak perlu dibawa ke Mahkamah Tinggi," katanya.

Menurut Sankara, jika hakim menerima bantahan awal yang dikemukakan pihak pendakwa maka kes tersebut akan dibicarakan di Mahkamagh Tinggi.

Barisan peguam bela Anwar pula diketuai oleh Sulaiman Abdullah bersama R. Sivarasa, Sankara, Leela Jesuthasan, Edmund Bon, Saiful Idham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya serta Mohd. Radzlan Jalaludin.

Antara berita dan pemberitaan !!!

Ada marah dan ada yang kecewa serta ada yang pertahankan dengan pemberitaan Harakah cetak bilangan : 1379 baru - baru ini.

Ini adalah gara-gara sidang editorialnya meletakkan perkataan Amaran sebagai kepala beritanya, hasil daripada kenyataan Tuan Guru yang dipetik sebagai berkata " Kita ( PAS ) bersedia untuk mengubah kerajaan tetapi dengan syarat mestilah kerajaan itu lebih baik daripada yang sedia ada ( BN ). Kita tidak mahu berubah kepada yang lebih buruk tetapi mesti lebih baik , dan dasar Islam menjamin keadilan buat semua rakyat. "

Bagi kumpulan yang sayangkan hasil kerjasama bersama-sama rakan politik dalam Pakatan Rakyat pemberitaan Harakah sebagai lidah rasmi PAS adalah tidak wajar dan keterlaluan serta menjolok keharmonian persahabatan yang baru dimulai atau dijambatani.

Hujahnya, nak mendapat kerjasama intim sebegini sejak puluhan tahun usia PAS bukanlah perkara yang mudah. PAS sejak bertahun-tahun dengan pelbagai usaha , daya, idea memikirkan untuk mendekati golongan bukan Islam dan sebagainya untuk mendorong mereka mendekati PAS dan sekaligus memberi undi kepada PAS. Adalah satu kejayaan yang besar. Usaha puluhan tahun ini jangan lah dipersiakan dalam sekelip mata.

Maka janganlah dileraikan dalam masa yang sesingkat yang sungguh deras dan cepat. Pepatah Melayu juga ada menyebut berkawan biarlah seribu , berkasih biarlah satu.

Selain itu, PAS sebagai parti yang senior patutnya matang berpolitik. Janganlah terlalu gelojoh sehingga membelakangi semua strategik berpolitik. Jika kita menerima reliti demografi Malaysia kita tidaklah wajar hidup mandiri. Kita juga harus bergantung dengan orang lain. Ini kerana sistem ekonomi yang diacukan kepada kita oleh penjajah dulu adalah ekonomi berpengkususan baik kapitalisme , sosialisme dan sebagainya. Masing-masing ada peranan tersendiri.

Manakala bagi kumpulan yang menyokong pemberitaan harakah cetak, bangga dengan sikap telus, tegas dan berintegiriti kita yang bisa awal difahami rakan dan lawan. Biarlah mereka cepat faham dan cepat tahu, kerana kita jelas ,kuat berpegangkan dengan prinsip asas perjuangan kita yang tiada kompromi sama sekali atau tawar menawar.

Biarlah kejayaan itu lambat tetapi kita jelas dan telus, kejayaan akhir akan datng juga. Kita berjuang bukan untuk mencari kesukaan manusia kita mahukan kesukaan Allah. Apa guna kemenangan jika ia dapat dengan cara Allah murka kepada kita.

Manakah sifat pengorbanan kita , bilamana diuji sedikit pun kita gagal dan berlembut sebaai alasan lapuk bertopengkan kepentingan serta strategik politik.

Justeru dalam pemberitaan Harakah di atas, tentulah orang terakhir yang bertanggungjawab terhadap terbitan Harakah itulah yang ditunding jari. Jika ditanya orang suratkhabar inilah sebahagian daripada asam garam dalam dunia kewartawanan, terkadang mereka tersilap hitung, terkadang terlepas pandang, terkadang ada masa tak memandang ..itulah dunia kewartawanan.

Jika takut dilanda ombak janganlah buat rumah ditepi pantai. !!!

Monday, October 06, 2008

Sesak Pulang ke Ibukota semalam !!

SESAK ... Deretan kenderaan memenuhi sepanjang jalan di Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke ibu kota ekoran orang ramai berpusu-pusa pulang ke ibu kota selepas bercuti sempena perayaan Aidilfitri di sini, semalam. Keadaan kesesakan yang luar biasa di Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan menyebabkan ribuan orang ramai yang mahu kembali ke Ibu kota terkandas dan kenderaan bergerak perlahan-lahan. - Foto Bernama

Jangan harap kepada yang tiada harapan ?

Dato Sharir Samad minta letakkan jawatan sebagai menteri kerana gagal menangani masalah kenaikan harga barang keperluan harian yang 'terlampau' kini. Kini seolah-olah kerajaan tiada guna dan tiada kuasa langsung dalam hal-hal feudemantal ekonomi bagi penduduk negara ini.


Kerajaan BN lebih utama takutkan taukeh-taukeh besar kroni mereka yang 'menyumbat' rasuah wang setiap kali pilihanraya umum negara berlaku. Kini giliran taikun-taikun besar itu pula menguasai negara melalui 'medium' ini.

Bagi rakyat teramai, selagi kita 'kekal'kan kerajaan BN selagi itulah kita tidak merdeka fikiran apatah lagi ekonomi kita. Sudahlah kita terjajah dari segi zahir dan batin selama berabad-abad. Tetapi selepas tahun 1957 merdekanya negara belum lagi memerdekakan fikiran rakyat daripada penjajahan ini.

Kemelut mahu kekal kuasa dan terus berkuasa tanpa menhiraukan penderitaan rakyat jelata dan golongan marhein adalah asam garam kerajaan kini. usahlah harap apa-apa yang mahu diharapkan, kini kita harap kerajaan yang ada lebih cepat dialihkan kepada kerajaan lain.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digesa segera memantau harga barang keperluan di pasar-pasar basah seluruh negara yang didapati naik sewenang-wenangnya.

Walaupun mengalu-alukan langkah penguatkuasaan oleh kementerian di pasar raya-pasar raya besar, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menegaskan masalah lebih serius dengan harga naik melampau sebenarnya berlaku di pasar-pasar basah.

Sementara pasar raya besar mampu menetapkan harga rendah kerana membelinya secara pukal, pasar-pasar basah yang kebanyakannya terletak di bandar dan pekan pula menjual dengan mahal.

Contohnya santan di sekitar kawasan Senaling di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dijual pada harga RM7 sekilogram berbanding RM4 hingga RM5 sekilogram di bandar-bandar besar termasuk ibu kota.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohamed Shaani Abdullah berkata, penguatkuasaan perlu dilakukan di pasar-pasar basah khususnya di luar bandar kerana ia dikunjungi oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

‘‘Penguat kuasa perlu pergi ke pasar-pasar basah, perhatikan harga-harga di sana. Di kampung-kampung tidak ada pasar raya besar macam Tesco atau Giant, majoriti pergi pasar basah,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, peniaga sering menggunakan musim perayaan sebagai alasan untuk menaikkan harga barang dan perbuatan itu seolah-olah ‘dihalalkan’ oleh pihak berkuasa.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusuff Ismail berkata, pihaknya masih menunggu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad turun padang meninjau kenaikan harga di negeri tersebut.

Di Kedah, katanya, masalah kenaikan harga sering berlaku pada barangan kawalan yang tidak mempunyai had siling manakala pembekal pula memonopoli pasaran bagi barangan tertentu.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George turut berharap kerajaan bertindak lebih ‘keras’ memandangkan masalah yang sama berulang setiap kali musim perayaan.

Beliau menggesa kerajaan menyenaraihitamkan peniaga yang didapati menaikkan harga sewenang-wenangnya.

George juga mencadangkan supaya langkah mengimport kelapa yang diluluskan kerajaan bagi mengatasi kekurangan bekalan bahan makanan itu diperluaskan kepada barangan keperluan lain.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma‘amor Osman berkata, masalah kenaikan harga dapat ditangani sekiranya negara mempunyai pelan kecemasan termasuk stok penimbal.

Baginya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) boleh memainkan peranan menyeimbangkan harga dengan mengawal stok barang keperluan harian.

Dalam pada itu, tinjauan di beberapa pasar basah di bandar-bandar utama mendapati harga barangan dan sayuran melonjak lebih sekali ganda berbanding kadar yang dicatatkan KPDNHEP pada 22 September lalu.

Negeri

Di KELANTAN, harga bawang putih di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, meningkat daripada RM2 sekilogram kepada RM3.50 sekilogram dalam tempoh tersebut.

Di PAHANG, pengguna yang mengunjungi Pasar Besar Kuantan perlu membayar RM5 untuk sekilogram sawi dan kangkung, sedangkan harganya hanya RM2 dua minggu lalu.

Terung dijual paling mahal di sini berbanding negeri-negeri lain iaitu RM8 sekilogram.

Di JOHOR BAHRU, harga kacang panjang di pasar awam Larkin meningkat sebanyak RM1.50 daripada RM4 sekilogram kepada RM5.50 sekilogram manakala tomato naik RM2 kepada RM6 sekilogram berbanding dua minggu lalu.

Di PULAU PINANG, harga udang kecil di pasar awam Taman Tun Sardon meningkat daripada RM10.50 sekilogram kepada RM15 sekilogram manakala harga cili segar turut melambung daripada RM6.25 sekilogram kepada RM8 sekilogram.