Apalah nasib rakyat negara ini. Salah kah rakyat dimaklumatkan. Terbaru Peguam Negara mahu mendaulatkan negara ini dengan cubaan memperketatkan undang-undang OSA. Isunya kerana terlalu banyak maklumat rahsia kerajaan dibocorkan kepada umum.
Salahnya kerana terlalu banyak rakyat tahu rahsia kerajaan. Dalam ilmu berkerajaan yang diajar dalam displin sains politik. Ada 12 perkara tanggungjawab kerajaan yang perlu kerajaan lakukan kepada rakyat.
Antara yang terpenting menjamin keadilan dan memberi kemakmuran kepada rakyat terbanyak.
Entahlah kenapa dan mengapa peguam negara yang berkhidmat terlalu mahu lindungi negara daripada rakyat yang menegarakan negara ini. Kerana tanpa rakyat , tiudak akan lahirkan negara ini, apatah lagi pemimpin dan kepimpinan negara.
Jika benar dan diteruskan, episod malanglah kepada penduduk negara ini. Rakyat sudah tiada pilihan. Yang terbaik adalah mencari pimpin lain dan menukar kerajaan seid a ada dengan kerajaan lain.
Cadangan Peguam Negara ‘menggerunkan’
SHAH ALAM - Cadangan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 bagi meningkatkan hukuman terhadap mereka yang membocorkan rahsia kerajaan, hanya akan memburukkan lagi imej pihak berkenaan dan BN.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib menyifatkan cadangan pindaan akta tersebut sangat menggerunkan.
"Ia akhirnya akan menimbulkan rasa marah rakyat. Cadangan itu harus diteliti sebaik mungkin oleh kerajaan kerana pihak yang terima kecaman dan label buruk adalah parti yang memerintah (BN)," katanya.
Menurutnya, pindaan yang memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan memperlihatkan negara ini sebagai sebuah negara kuku besi.
Md Shukri berkata, kerajaan perlu menghentikan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi negatif dalam suasana negara masih belum selesai dibadai polemik isu.
“Kalau diperhatikan, negara kita kini seolah-olah dilanda bah polemik dan persepsi terhadap imej kerajaan. Saya rasa jalan terbaik yang perlu diberikan perhatian adalah meredakan bah polemik ini,” katanya.
Dalam pada itu, Md Shukri turut mempersoalkan tindakan Mohamed Apandi yang seperti sengaja mahu mempromosikan cadangan tersebut kepada awam.
“Cukuplah sekadar membincangkan idea itu dalam kalangan pentadbir dan pihak berkaitan, tidak perlu bawa kepada media dan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Md Shukri berkata, tidak dinafikan tindakan membocorkan rahsia kerajaan atau negara adalah kesalahan serius di sisi undang-undang serta boleh mengancam keselamatan negara, tetapi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup adalah sesuatu yang berat.
“Jika nak ubah, tidak perlu kepada perubahan akta, sebagai contoh etika kewartawanan dan kebocoran maklumat itu yang perlu diperketatkan,” katanya.
Sementara itu, pakar perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, hukuman berat yang dicadangkan dalam pindaan OSA hanya sesuai dilaksanakan sekiranya kebocoran maklumat yang berlaku mengancam keselamatan negara.
Menurutnya, tidak adil sekiranya hukuman berat itu dikenakan terhadap pemberi maklumat dalam kes yang melibatkan kepincangan dan salah guna kuasa dalam pentadbiran.
“Jika pemberi maklumat (dalam kes ini) dikenakan hukuman berat maka ia akan menjadi seperti ‘membunuh' pemberi maklumat dan bukan pesalah. Ini tidak adil.
“Namun, hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan hanya sesuai dilaksanakan, sekiranya kebocoran maklumat rahsia itu mengancam keselamatan negara,” katanya.
Menurut Nik Ahmad Kamal, jika ada mekanisme pemberi maklumat yang kukuh dalam pentadbiran kerajaan yang baik, kebocoran rahsia rasmi tidak akan berlaku.
Katanya, jika dilihat pada sejarah, kesalahan di bawah OSA tidak banyak melibatkan rahsia yang serius.
ARTIKEL BERKAITAN