Tuesday, January 22, 2008

Bagi kita adalah sesuatu yang 'pelik' jika mana-mana pimpinan UMNo hatta peringkat pimpinan cawangan dihukum atau dijatuhkan hukuman dan disabitkan dengan kesalahan didapati bersalah. Kerana ini adalah Malaysia.


Ketua Umno didapati tidak bersalah kes wang haram
22-01-2008 04:51:06 PM

KOTA BAHARU: Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian Mohd Fauzi Ismail Selasa, dibebaskan daripada dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram yang semuanya bernilai RM138,210 pada tahun 2005 oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh memutuskan Mohd Fauzi tidak perlu dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu berikutan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sebaik sahaja prosiding mahkamah selesai, Mohd Fauzi yang kelihatan gembira dengan keputusan itu disambut dengan ucapan tahniah dan laungan "Allahu Akbar" oleh penyokong dan anggota keluarganya sebaik keluar dari bilik mahkamah.

Mohd Fauzi, 45, yang hadir ke mahkamah dengan diiringi kira-kira 30 penyokongnya, menghadapi dua pertuduhan melakukan pengubahan wang haram pada Januari 2005.

Berikutan kes itu, Majlis Tertinggi Umno menggantung jawatan Mohd Fauzi sebagai Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian sehingga kesnya diputuskan oleh mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Fauzi didakwa menerima wang hasil aktiviti haram sebanyak RM91,650 daripada Mohd. Syahbuddin Hashim, 26, di hadapan Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di sini antara pukul 12.30 tengah hari dan 7 malam pada 6 Jan 2005.

Dia juga didakwa menerima RM46,560 hasil daripada aktiviti haram daripada Wan Ibrahim Wan Setapa, 43, di Pejabat UMNO Bahagian Kubang Kerian di sini antara pukul 1 tengah hari dan 2 petang, 10 Jan 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohd Fauzi diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed dan pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah (BPR) Kelantan, Rashidah Abdul Karim.

Ketika ditemui kemudiannya, Mohd Fauzi berkata beliau bersyukur dan akan meneruskan perjuangannya di dalam Umno.

"Saya akan pergi ke Kuala Lumpur untuk memaklumkan keputusan mahkamah kepada Majlis Tertinggi Umno dan pucuk pimpinan parti untuk tindakan selanjutnya.

Malahan Mohd Fauzi berazam untuk berkerja keras bagi memastikan kemenangan Umno di Kubang Kerian dalam pilihan raya umum akan datang. BERNAMA






No comments: