Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata, perkara yang seharusnya dilakukan dengan serta-merta itu dinyatakan di dalam perkara 89 (3) (c) Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, saranan tersebut turut diarahkan oleh Jabatan Audit Negara selepas memeriksa kelemahan isu tanah rizab Melayu pada laporan Audit Negara 2013.
“Banyak tanah rizab Melayu yang tidak diganti, ini berlaku kerana kerajaan negeri berdepan masalah lokasi tanah untuk dibangunkan yang tidak strategik dan mempunyai nilai pasaran rendah.
“Arahan itu juga perlu mengambil kira Enakmen Rizab Melayu pada 1933 yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong dalam budi bicara untuk memindah hak milik tanah rizab yang tidak diganti kepada pemilik,” katanya semasa menjadi panel dalam Wacana dan Forum: Isu Tanah Rizab Melayu anjuran Biro Pemantauan dan Integriti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Aziz Samsuddin dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Ahmad Fairuz berkata, kerajaan negeri perlu menyelesaikan isu tersebut segera memandangkan keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dipertikai dalam memainkan peranan penting membela kepentingan orang-orang Melayu.
Beliau berkata, perkara 13 Perlembagaan Persekutuan juga memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk mengambil dan menggunakan tanah-tanah bermilik secara paksa mengikut undang-undang.
Jelasnya, undang-undang itu ha­ruslah memperuntukkan pengambilan dan penggunaan tanah-ta­nah bermilik dengan bayaran pampasan secukupnya.
“Jika tanah-tanah rizab Melayu diambil balik, bayaran pampasan hendaklah dibuat berdasarkan ni­lai tanah rizab Melayu khusus untuk kegunaan orang Melayu.
“Bagi tanah yang diambil untuk kegunaan oleh semua kaum pula, hendaklah dinilai seperti tanah di luar tanah rizab Melayu,” katanya.